SEMBILAN banduan sebuah penjara di negeri Goias, Brazil, telah dibunuh dan mayat mereka dibakar dalam satu insiden rusuhan pada Isnin, kata pihak berkuasa tempatan.
Komander Polis Tentera Divino Alves memberitahu media tempatan bahawa huru-hara tercetus pada petang Isnin antara anggota kumpulan bermusuh dalam sebuah penjara di Aparecida de Goiania, bandar kedua terbesar di negeri itu, dan para pegawai pusat tahanan tersebut mengambil masa hampir dua jam untuk menenangkan keadaan.
Menurut kenyataan Penguasa Eksekutif Pengurusan Penjara, banduan dari seksyen C penjara itu telah menyerang seksyen B sebelum memulakan kebakaran.
Anggota bomba telah dipanggil untuk memadamkan kebakaran dan asap tebal boleh dilihat menjulang dari pusat tahanan itu.
Sejumlah 14 banduan yang cedera dalam pertempuran itu kembali ke sel masing-masing selepas menerima rawatan kecemasan, demikian menurut laman sesawang berita Brazil, G1.
Sebanyak 106 banduan mengambil kesempatan daripada kekecohan itu untuk melarikan diri, dan para pegawai penjara berjaya memberkas semula 29 orang, kata laporan itu sambil menambah bahawa “sejumlah 127 orang lagi telah meninggalkan penjara tersebut kerana keliru namun datang semula secara sukarela selepas situasi kembali tenang.”
Para pegawai penjara kini berusaha menjejaki banduan lain yang memboloskan diri.
Rusuhan di penjara adalah perkara biasa di Brazil, yang sering dilanda masalah terlebih penghuni. – Bernama, 2 Januari, 2018.
Komen