KINI lebih banyak syarikat tempatan melibatkan ahli psikologi dan terapi dalam program bantuan pekerja (EAP) termasuk latihan kesihatan mental dan kaunseling untuk kakitangan mereka, kata penyedia perkhidmatan tersebut.
Seorang pengurus perkhidmatan kesihatan mental korporat tempatan yang memilih untuk tidak disebutkan namanya berkata terdapat peningkatan syarikat meminta perkhidmatan sedemikian untuk pekerja sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula pada Mac tahun lalu.
“Ada juga peningkatan kesedaran individu dalam menggunakan perkhidmatan ini, jika ia sudah disediakan oleh syarikat,” kata pengurus itu.
“Walaupun ini adalah hal positif, banyak yang mendapatkan perkhidmatan ini berdasarkan sesuatu kes, biasanya tindakan reaksi terhadap suatu kejadian, dan bukannya tindakan pencegahan.”
Pengurus itu menambah, 2021 nampak seperti tahun yang optimis dari segi pembiayaan kesihatan mental kerana banyak organisasi menyedari kesan wabak tersebut kepada pekerja mereka.
Joel Low, pakar psikologi klinikal dan pengarah The Mind, berkata sektor kolar putih dan biru terjejas.
“Kebanyakan pelanggan kami lebih kepada kolar putih, tetapi kami juga terlibat dengan beberapa kolar biru, ia sebenarnya sedang berkembang. Pergelutan kesihatan mental bagi kedua-dua kumpulan adalah sama, tetapi pencetusnya mungkin berbeza.
“Bagi kolar putih mereka bergelut untuk naik pangkat atau bekerja dari rumah. Bagi kolar biru, saya rasa kebimbangan sumber pendapatan menjadi isu. Namun, mereka masih tertekan, panik dan cemas,” katanya.
Low, juga naib presiden Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia berharap syarikat di Malaysia suatu hari nanti dapat menganggap masalah kesihatan mental sama seperti penyakit fizikal.
Beliau berkata perkara paling praktikal yang boleh dimulakan syarikat adalah dengan tidak mendiskriminasi kesihatan mental.
Namun, ada juga kebimbangan beberapa syarikat terlibat dalam program ini hanya sebagai formaliti dan tidak sepenuh hati menangani masalah kesihatan mental yang timbul atau menjadi lebih teruk kerana pandemik Covid-19.
“Syarikat sememangnya mengamalkan lebih banyak tugas penjagaan pada tahap minimum luaran, sama ada mereka benar-benar bermaksud atau tidak.
“Ada syarikat yang menawarkan EAP dan bersedia memberikan komitmen kepada semua sesi dan kos. Tetapi ada juga syarikat yang baru saja mewujudkan panel untuk EAP tetapi membiarkan kakitangan menanggung kosnya,” kata Low.
Bagaimanapun, syarikat patut lebih bersedia bagi kakitangan mengambil lebih banyak cuti untuk menangani masalah kesihatan mental mereka, kerana data menunjukkan sebilangan besar kes cuti sakit sebenarnya berkaitan dengan kesihatan mental.
Ahli psikologi klinikal, Justine Thong berkata kajian pada 2017 di kalangan pekerja perkhidmatan awam di Malaysia mendapati tekanan dan masalah kehidupan peribadi menyumbang sehingga 69% daripada cuti perubatan yang diambil.
“Saya setuju masalah kesihatan mental berkaitan dengan ketidakhadiran dan cuti sakit. Pertama, kesihatan mental boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal,” kata Thong, yang merupakan perunding EAP dan pengarah pelatih Oak Mind Wellness Ipoh.
“Banyak masalah kesihatan mental mempunyai gejala fizikal yang sepadan. Sebagai contoh, individu yang mengalami gangguan keresahan mungkin mengalami sakit dada atau sesak dan sukar bernafas.
“Sesiapa yang mengalami gejala seperti itu akan berasa tidak sihat, mendorong kepada cuti sakit atau kecemasan,” katanya.
International SOS, sebuah syarikat perkhidmatan kesihatan dan keselamatan global baru-baru ini melancarkan laporan Risk Outlook 2021 yang menyatakan lima ancaman utama terhadap tenaga kerja tahun ini.
Antaranya, masalah kesihatan mental dilihat memberi kesan terhadap produktiviti pekerja pada 2021.
Cuti yang diambil disebabkan kesihatan mental kemungkinan mengatasi cuti yang diambil kerana penyakit fizikal, seperti gejala Covid-19, ramal pakar dalam laporan itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menegaskan pada Oktober tahun lalu bahawa negara-negara membelanjakan kurang 2% daripada anggaran kesihatan nasional mereka bagi kesihatan mental.
Ini adalah jauh berkurangan bagi kesihatan mental dan kesukaran untuk memenuhi keperluan penduduk, kata WHO. – 10 Mac, 2021.
Komen