Tanpa DAP pun kerajaan Melayu Perikatan tetap berantakan, kata Salahuddin


Mohd Farhan Darwis

PN masih gagal wujudkan kerajaan yang stabil selepas memerintah sejak setahun lalu walaupun tanpa DAP, kata Naib Presiden PH Salahuddin Ayub. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) masih gagal mewujudkan kerajaan yang stabil selepas memerintah sejak setahun lalu walaupun tanpa DAP dan majoriti anggota Kabinet terdiri daripada pemimpin Melayu dan Islam, kata Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) Salahuddin Ayub.

Ini menunjukkan sesebuah pemerintahan yang baik bergantung pada integriti dan akhlak, dan bukannya faktor kaum, kata Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah.

“Kita berbalik kepada isu akhlak, integriti dan kepimpinan yang baik… itu penting. Setelah hampir setahun kita saksikan kerajaan PN dan MN (Muafakat Nasional) diberikan kesempatan kuasa.

“Mereka nak apa lagi, kerajaan PN ini 99.9% Melayu… daripada menteri ke timbalan hanya ada beberapa orang sahaja (anggota Kabinet) daripada MCA dan MIC.

“Begitu besar sekali jumlah (anggota Kabinet) Melayu, mereka masih gagal bentuk kerajaan stabil, masih bercakaran sesama sendiri dan orang pertikai integriti mereka,” kata Salahuddin, dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dibentuk genap setahun pada hari ini menyenaraikan 32 menteri, dengan dua daripadanya masing-masing seorang wakil MCA dan MIC.

Bersatu mempunyai 11 menteri, Umno sembilan dan PAS tiga, sementara baki 4 orang dari Gabungan Parti Sarawak dan seorang dari PBS.

Bukan salah DAP

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, tanpa DAP yang dijadikan alasan percaturan politik menjatuhkan PH setahun yang lalu, PN seharusnya mampu mentadbir dengan baik kerana bilangan wakil rakyat Melayu yang cukup besar dalam gabungan tersebut.

“Sekarang patut mereka boleh bersatu padu, tak ada isu DAP atau Cina lagi… DAP tiada di situ (dalam Kabinet).

“Kamu majoriti Melayu besar, kamu masih bercakaran, bergaduh. Usul dalam setiap parti menolak (satu sama lain), Umno menolak Bersatu, puak sebelah lagi menolak Umno, PAS pula dilihat sukar dipercayai. Inilah semua isu yang sangat kompleks,” kata Salahuddin.

Pada hujung Februari 2020, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu membawa partinya keluar dari gabungan PH atas alasan antara lain tidak dapat lagi bekerjasama dengan DAP.

Bersatu kemudian membentuk kerajaan baharu bersama Umno dan PAS, dan mendapat sokongan daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Salahuddin Ayob berkata Malaysia perlu kerajaan dikuasai pemimpin Melayu yang baik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Mac, 2021.

Kempen untuk PRU15

Menurut Salahuddin, apa yang berlaku dalam kerajaan Muhyiddin sekarang inilah yang akan menjadi antara kempen PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti – bahawa faktor kaum bukan jaminan kepimpinan dan prestasi sesebuah kerajaan.

“Dalam tempoh ini (pemerintahan PN) tiada semak dan imbang. Itu isu perlu diberitahu rakyat. 

“Adanya majoriti Melayu bukan jaminan (kerajaan stabil). Kerajaan Melayu, Cina, India, atau Iban mesti ditegakkan atas dasar integriti dan akhlak yang baik.

“Kita akan terangkan kepada rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pemimpin Melayu yang baik

Salahuddin bagaimanapun berkata, realiti di Malaysia memerlukan kerajaan dikuasai oleh pemimpin Melayu yang baik.

Justeru, Amanah kata Salahuddin harus mengetengahkan kepimpinan Melayu yang baik memandangkan parti itu menjadi wakil parti orang Melayu dalam PH.

Sehubungan itu, Amanah katanya perlu memberikan tumpuan kepada isu yang mengelilingi komuniti Melayu bagi mendapatkan kepercayaan mereka.

“Saya yakin dan percaya realiti Malaysia memang memerlukan pemimpin Melayu yang baik, maksud baik itu mereka yang berintegriti, menyerlahkan kepimpinan Melayu yang jadi teras kekuatan Malaysia. 

“Di samping kita perlu didukung kepimpinan bangsa lain seperti India, Cina, etnik Kadazan Dusun, Dayak dan lain yang baik. 

“Kombinasi itu sangat praktikal, isu kepimpinan Melayu isu yang tidak penah dimarahi parti lain kerana semua faham teras negara yang memelukan kepimpinan Melayu yang baik, berakhlak dan berintegriti,” kata Salahuddin.

Oleh sebab itu kata Salahuddin, Amanah perlu berusaha dan bersedia menjadi sandaran buat pengundi Melayu, di samping pengundi bukan Melayu.

“Amanah disamping membawa wajah imej Islam rahmah, kita sedia ada disenangi orang bukan Islam yang menerima Amanah.

“Tetapi Amanah harus lebih fokus dan tajam memperjuangkan isu Melayu supaya orang Melayu dalam jangka masa panjang letakkan Amanah parti sandaran orang Melayu di samping kita kekalkan sokongan orang bukan Melayu,” katanya. – 10 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen