Pakatan penting untuk Amanah, ahli tak boleh lompat parti kawan, kata Salahuddin


Mohd Farhan Darwis

Gabungan antara Amanah, PKR, dan DAP sedar mereka perlu kembali menjadi sandaran untuk rakyat, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Mac, 2021.

AMANAH akan terus memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH) kerana ia gabungan politik yang penting buat parti itu, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

PH juga katanya sudah membuat ketetapan mana-mana parti gabungannya tidak boleh menerima ahli parti gabungan yang lain, selepas lima wakil rakyat Amanah menyertai PKR dalam tempoh enam bulan ini.

Majlis Presiden PH yang membuat keputusan itu turut memutuskan, demi menjaga persahabatan komponen PH, kerusi yang dimenangi wakil rakyat PH yang melompat ke parti lain dalam PH akan kekal ditandingi oleh parti asal.

“Dalam mesyuarat majlis presiden terbaru, satu keputusan penting dibuat, pada prinsipnya PH tak boleh terima ahli parti kawan untuk masuk ke dalam parti kawan yang lain. Itu untuk memelihara keharmonian dan persahabatan dalam PH.

“Persefahaman PH adalah mereka boleh lari tinggalkan kerusi tapi kerusi itu akan tetap ditandingi parti yang tanding dalam pilihan raya lepas… kecuali ada kes tertentu yang boleh berlakunya pertukaran kerusi.

“Hubungan kita jaga, sebab itu kita adakan peraturan baru ini,” kata Salahuddin dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Setakat hari ini, lima wakil rakyat Amanah, masing-masing, dua dari Selangor dan tiga dari Johor bertindak keluar dari parti itu tahun lalu, dan menyertai PKR.

Tindakan mereka itu menyebabkan beberapa pemimpin kedua-dua parti bertelagah berhubung perkara itu.

Salahuddin bagaimanapun berkata, penyertaan wakil rakyat Amanah ke dalam PKR berlaku bukan semata-mata atas faktor parti tetapi juga kerana faktor individu itu sendiri.

“Amanah juga sedang teliti sebab mereka meninggalkan parti. Kita sedang membuat suatu tinjauan yang serius dan barang pasti bagi saya mungkin ada kelemahan parti dan juga individu mereka yang melompat itu. 

“Tetapi apa yang kita boleh pastikan sekarang semuanya individu, bukan berkumpulan. Bukan mereka keluar bawa rakan lain. Semuanya berseorangan,” kata Salahuddin.

PH menetapkan parti gabungannya gabungannya tidak boleh terima ahli parti gabungan yang lain, selepas lima wakil rakyat Amanah menyertai PKR dalam tempoh enam bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2021.

PH jadi sandaran rakyat

Naib presiden Majlis Presiden PH itu berkata gabungan tiga parti antara Amanah, PKR, dan DAP juga sedar mereka perlu kembali menjadi sandaran untuk rakyat.

“Menjadi rakan dalam PH adalah terlalu penting bagi Amanah kerana kita tak boleh bersendirian, maka kita sentiasa perkukuh hubungan baik jalin persahabatan yang konkrit supaya PH yang sekarang tinggal tiga parti masih kita harapkan menjadi pilihan rakyat.

“Kita dah putuskan kita akan adakan satu pemukiman untuk tentukan hala tuju PH dan Amanah bersedia berikan pemikiran kita yang membina dan kekal hubungan baik,” kata Salahuddin.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, masa depan Amanah yang kini mempunyai kira-kira 150,000 ahli juga bergantung kepada kekuatan PH sendiri, dan Amanah sedia memainkan peranan untuk memperkukuhkan PH, termasuk kerjasamanya dengan parti-parti lain di luar PH.

“Masa depan Amanah sangat bergantung pada kekuatan kita dalam gabungan. Dalam kita memastikan gabungan hari ini PH akan terus diperkukuh dan memainkan peranan supaya Amanah dapat menghubungkan beberapa parti politik selain Amanah, DAP, dan PKR yang kita akan memastikan berlakunya kesefahaman, tak bertindih kerusi dan tidak berlaga antara satu sama lain,” katanya.

Sehubungan itu katanya, idea gabungan besar yang dipelopori Amanah akan dibawa ke pemukiman tersebut untuk mengukuhkan gabungan pembangkang.

“Akan bincang dalam retreat, akan bentang sama ada PH hanya kekal tiga parti, plus plus atau grand coalition, itu kita akan bincang dalam muafakat PH. Retreat dalam masa terdekat,” katanya.

Amanah mahu tanding lebih banyak kerusi

Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram berkata Amanah berharap dapat bertanding lebih banyak kerusi Parlimeb dan negeri untuk Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Katanya, dengan cara itu Amanah mampu memposisikan kedudukan mereka dalam PH.

“Kita akan cuba menambah bilangan kerusi sama ada peringkat Parlimen dan DUN. 

“Dalam PRU14 kita tanding 27 kerusi demikian juga DUN, kita akan pastikan bertambah, bukan sekadar tambah, kita akan pastikan kerusi ditandingi boleh menang. 

“Kalau Parlimen kita menang 11 pada PRU14, akan datang kita sasar menang lebih daripada itu.

“Inilah antara pendekatan penting untuk pastikan Amanah dapat posisikan kedudukan kita bersama rakan lain dalam PH,” kata Salahuddin. – 10 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen