Mencurah-curah penghargaan buat aktivis, Aegile Fernandez


Raevathi Supramaniam

Hannah Yeoh (kanan) mengimbau semula program anjuran Tenaganita oleh mendiang Aegile Fernandez (kiri). – Gambar ihsan Hannah Yeoh, 9 Mac, 2021.

AKTIVIS hak asasi manusia meluahkan rasa terkejut dan sedih atas pemergian pengasas Tenaganita, Aegile Fernandez yang meninggal dunia petang ini setelah dimasukkan ke hospital pada Sabtu.

Wanita berusia 72 tahun itu dikatakan mengalami serangan jantung.

Bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah terkejut apabila dikhabarkan dengan berita itu, dan hampir menangis ketika bercakap mengenai Aegile yang merupakan sahabat baiknya lebih dari 30 tahun.

“Saya benar-benar tidak tahu nak cakap apa. Saya tahu dia sakit dan saya jangka ini, tapi saya tak tahu dia akan pergi begitu cepat.”

Beliau teringat bagaimana mereka berdua bekerja sangat rapat dan selalu bersama ketika berada dalam All Women’s Action Society (Awam).

“Ini kehilangan besar, dan selepas pemergian Irene beberapa tahun lalu, kehilangan ini benar-benar dirasakan,” kata Chin, menambah Aegile adalah tulang belakang Tenaganita setelah kematian adiknya Irene pada 2014.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengimbau kerja yang dijayakannya bersama Aegile ketika menjadi Adun Subang Jaya.

“Pada masa itu kami buat banyak program untuk bagi kesedaran tentang masalah isu pemerdagangan manusia.

“Kesedaran saya sendiri tentang perkara ini datang dari kempen sehari Irene Fernandez untuk pekerja domestik. Bila Irene meninggal dunia, Aegile meneruskan tugasnya.

“Saya belajar banyak perkara tentang pemerdagangan manusia dan hak-hak migran hasil titik peluh Aegile. Pergi terlalu cepat. Kami kehilangan seorang lagi pejuang, seorang wanita dan seorang rakan untuk komuniti pendatang. Mendiang akan sangat dirindui,” kata Yeoh.

Mahi Ramakrishnan, pengasas Beyond Border, sebuah pergerakan bukan berasaskan keuntungan yang mempromosikan dan melindungi hak-hak pelarian di Malaysia berkata pemergian Aegile merupakan kerugian besar bagi dunia aktivisme, orang-orang yang mendiang bekerjasama dan masyarakat.

“Kami telah bekerja sangat rapat selama tiga tahun terakhir ini. Mendiang salah seorang yang paling berdedikasi, setia dan penyayang yang saya temui semasa bekerja dengan pelarian dan pendatang.

“Saya belajar banyak darinya dan percaya sesiapa sahaja yang bekerja dengannya pasti banyak belajar dengannya.

“Mendiang adalah singa bila memperjuangkan masalah yang dekat di hatinya, tetapi secara pribadi mendiangseorang yang penyayang, baik dan lemah lembut,” katanya.

Di Twitter, pengarah eksekutif North South Initiative, Adrian Pereira, berkata beliau sangat sedih mendengar kematian Aegile.

“Kenal mendiang sejak hari-hari di YCW. Kami tak cukup seorang lagi pembela pekerja asing, wanita dan miskin. Tetapi warisannya akan berterusan dalam Tenaganita dan banyak lagi. Selamat tinggal sahabat. RIP.,” tulis beliau dalam tweet.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago juga menggunakan media sosial untuk mengucapkan takziah.

Aegile, yang meninggal dunia petang ini memulakan kerjanya dalam bidang hak asasi manusia pada usia 16 tahun ketika beliau melawat pesakit di hospital di Sungai Petani, Kedah.

Sejak itu beliau terus bekerja dengan tahanan, pekerja seks, penagih dadah, pesakit HIV/Aids, mangsa penderaan rumah tangga, pelarian, mangsa pemerdagangan manusia dan anak-anak yang didera sebelum menjadi pengarah di NGO hak asasi pekerja dan pendatang yang ditubuhkan oleh mendiang saudaranya Irene pada 1991. – 9 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen