Mahkamah putuskan isu kalimah Allah dalam Al-Kitab esok


Raevathi Supramaniam

Seorang penduduk Sarawak beragama Kristian memfailkan tuntutan di mahkamah berhubung isu kalimah Allah dalam lapan cakera padat miliknya yang dirampas KDN. – Gambar fail EPA, 9 Mac, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan isu kalimah Allah dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh seorang Bumiputera beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang difailkan lebih sedekad lalu.

Ireland, rakyat Sarawak, memohon hak perlembagaannya diiktifar untuk bebas beragama tanpa sebarang diskriminasi.

Seorang pegawai mahkamah memberitahu The Malaysian Insight pihak mereka sedang menyiapkan akses video untuk mengikuti prosiding mahkamah esok susulan permintaan yang banyak daripada wartawan untuk membuat liputan.

Kes ini bermula pada Mei 2008 apabila pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) merampas lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dalam milikan Ireland yang baru tiba dari Indonesia.

Ireland memfailkan tindakan mahkamah pada Ogos berikutnya, antara lain memohon satu perintah untuk membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas dan menyita cakera padatnya.

Kes Ireland difailkan ketika mahkamah juga mengendalikan satu lagi kes lain melibatkan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar The Herald terbitan Gereja Roman Katolik.

Mahkamah Persekutuan pada Jun 2014 menolak permohonan The Herald, sementara panel lima hakim mahkamah sama pada Januari 2015 menolak pula permohonan untuk semakan kehakiman.

Dalam kesnya, Ireland juga memohon perisytiharan mahkamah berhubung kedudukan Perkara 8 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah Perkara 11, beliau memohon satu perisytiharan bahawa perlembagaan melindungi haknya untuk mendapat akses kepada penerbitan Kristian dalam menjalankan haknya beragama dan mendapat pendidikan.

Di bawah Perkara 8 pula beliau memohon perisytiharan atas hak kesaksamaan di sisi undang-undang dan tidak boleh didiskriminasikan mengikut agama dalam soal undang-undang pentadbiran, secara khusus merujuk pada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Kastam 1967.

Ireland juga menuntut mahkamah mengisytiharkan pekeliling KDN pada Disember 1986 yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana gagal membuktikan penggunaannya mengancam ketenteraman awam.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi memutuskan kes memihak pada Ireland dan KDN tersilap apabila merampas cakera padat tersebut.

Hakim Zaleha Yusof mengarahkan KDN memulangkan semua lapan cakera padat itu dan membayar RM5,000 sebagai kos. Isu perlembagaan yang dibangkitkan dalam permohonan Ireland bagaimanapun tidak diputuskan oleh mahkamah.

Kerajaan merayu keputusan itu dan mendapat perintah penangguhan untuk terus memegang cakera padat berkenaan atas alasan kepentingan awam.

Pada 23 Jun, 2015, Mahkamah Rayuan yang diketuai hakim rayuan Tengku Maimun Tuan Mat (sekarang ketua hakim negara) mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengarahkan lapan cakera padat itu dipulangkan.

Mahkamah Rayuan juga mengarahkan seorang hakim mahkamah tinggi yang lain mendengar permohonan berhubung isu-isu perlembagaan dalam semakan kehakiman Ireland.

Pada 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin dilantik untuk mendengar kes semakan kehakiman itu.

Mahkamah sepatutnya menyampaikan keputusannya pada 22 Mac, 2018 tetapi ditangguh kepada 13 Ogos, 2018 kerana Pejabat Peguam Negara pada masa itu mahu meminta “arahan baharu” daripada kerajaan.

Tarikh Ogos itu kemudiannya diganti sebagai pengurusan kes selepas kerajaan bertukar pada Mei 2018 apabila Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Ireland dan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) di Sabah kemudian menulis surat kepada kerajaan PH, meminta kes diselesaikan di luar mahkamah.

Sebuah jawatankuasa lima anggota diketuai menteri dalam negeri pada masa itu Muhyiddin Yassin sepatutnya melihat isu itu. Anggota jawatankuasa yang lain ialah menteri agama Mujahid Yusof dan menteri dari Sabah dan Sarawak iaitu Liew Vui Keong, Darell Leiking dan Baru Bian.

Apabila kerajaan PH jatuh pada hujung Februari 2020 dan diganti kerajaan Perikatan Nasional, isu ini dirujuk kepada seorang timbalan menteri untuk diselesaikan tetapi tiada penyelesaian.

Sejak kes itu pertama kali didengar oleh Hakim Nor Bee Ariffin, ia tertangguh 14 kali. Beliau juga kini sudah diangkat ke Mahkamah Rayuan.

Perkara ini tertangguh 12 kali untuk penyelesaian di luar mahkamah berhubung isu penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian dan bahan penerbitan berkenaan di Sabah dan Sarawak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka menyampaikan keputusannya pada 10 pagi esok. – 9 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen