Vaksin AstraZeneca berkesan bagi golongan lebih 65 tahun, kata firma


Ragananthini Vethasalam

Kebimbangan mengenai penggunaan vaksin AstraZeneca ke atas individu berusia 65 tahun ke atas dibangkitkan oleh Jawatankuasa Penasihat Imunisasi Negara Kanada baru-baru ini. – Gambar EPA, 9 Mac 2021.

TERDAPAT bukti menunjukkan vaksin Covid-19 Astrazeneca berkesan untuk individu berusia 65 tahun ke atas, menurut firma yang membangunkannya.

Firma farmaseutikal British-Sweden itu memberitahu The Malaysian Insight, Agensi Perubatan Eropah (EMA) menyarankan penggunaan vaksin AstraZeneca-Oxford ke atas individu berusia lebih 65 tahun tanpa pengubahsuaian dos.

Suruhanjaya Eropah juga meluluskan pendaftaran bersyarat untuk vaksin yang dibangunkan di United Kingdom itu, termasuk penggunaannya ke atas warga emas, tambahnya.

“Laporan terkini The Lancet menunjukkan bahawa warga emas memberi tindak balas imun kuat terhadap vaksin ini, dengan paras antibodi mereka naik mendadak selepas diberi dos pertama,” menurut jurucakap firma itu.

“Lebih banyak analisis akan dijalankan, memperhalusi keberkesanan hasil penemuan meliputi julat umur lebih meluas dan dalam jangka waktu lebih panjang.”

Di Malaysia, vaksin AstraZeneca mendapat kelulusan bersyarat dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk diberi kepada individu berusia 18 tahun ke atas. Kelulusan diberi pada 2 Mac.

“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini akan membolehkan berjuta rakyat Malaysia mendapat vaksin AstraZeneca secara berkesan,” kata firma itu.

“Dengan dos pertama dijangka tiba pada suku kedua 2021, kami akan memenuhi komitmen untuk memberi akses yang adil dan meluas tanpa keuntungan melalui kerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia.”

Kebimbangan mengenai penggunaan vaksin AstraZeneca ke atas individu berusia 65 tahun ke atas dibangkitkan oleh Jawatankuasa Penasihat Imunisasi Negara Kanada (NACI) baru-baru ini, yang tidak mengesyorkan vaksin berkenaan bagi warga emas.

Perancis dan Jerman sebelum ini hanya meluluskan vaksin AstraZeneca bagi mereka yang berusia bawah 65 tahun, atas alasan kurang kajian mengenai keberkesanannya dalam kalangan warga emas.

Dua negara itu bagaimanapun, baru-baru ini memberi kelulusan selepas beberapa kajian menunjukkan suntikan vaksin itu berkesan bagi golongan berkenaan.

Banyak stok dilapor tidak digunakan di Perancis dan Jerman.

Di Perancis, hanya 24% vaksin itu digunakan, jauh di bawah sasaran penggunaaan 80-85%, manakala di Jerman, dua pertiga daripada bekalan yang dihantar masih belum digunakan sejak awal bulan ini. 

Pihak berkuasa kesihatan Perancis bagaimanapun kini meluluskan vaksin AstraZeneca diberi kepada individu berusia antara 65 dan 74 tahun.

Minggu lalu, kementerian kesihatan Jerman melaporkan jawatankuasa bebas vaksin negara itu secara rasmi memberi kelulusan kepada vaksin AstraZeneca kepada golongan lebih 65 tahun.

Presiden Perancis Emmanuel Macron sebelum ini berkata vaksin AstraZeneca “hampir tidak berkesan” untuk golongan berkenaan, hanya beberapa jam selepas diluluskan EMA. – 9 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen