Untuk Malaysia bantu murid cicir dari kumpulan B40


Diyana Ibrahim

Program Murid Cicir dilancarkan pada November untuk menangani masalah pembelajaran dihadapi pelajar sejak pandemik Covid-19 melanda negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Mac, 2021.

SEKOLAH yang lama ditutup kerana penularan pandemik Covid-19 menerbitkan rasa bimbang dalam hati Norashikin, 36, seorang ibu tunggal, setelah anaknya yang seorang di Tahun Satu dan seorang lagi di Tahun Tiga tercicir pelajaran.

Norashikin yang bekerja sebagai tukang urut berkata anaknya tidak lagi belajar sejak sekolah ditutup, biarpun sesi kelas diganti dengan kelas di rumah secara dalam talian.

Beliau menjelaskan tidak mampu menyara enam orang anak yang semuanya masih bersekolah kerana dia tidak mampu untuk menyediakan alat peranti bagi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Norashikin malah jadi lebih bimbang kerana beliau juga tidak dapat membantu anaknya untuk belajar di rumah memandangkan perlu keluar bekerja untuk menyara keluarganya.

“Memang saya risau dengan keadaan anak saya sebab sejak sekolah ditutup mereka langsung tak dapat belajar sebab tak ada tak ada komputer riba.

“Macam saya untuk pantau, ajar mereka saya tak dapat kerana saya bekerja sampai lewat malam mengurut orang. Dan saya cuba juga membantu salin di buku tugasan anak saya yang diberikan oleh cikgu tapi terlalu banyak sampai tak terkejar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ujar Norashikin keadaan itu membuatkannya bertekad untuk mendaftarkan anaknya dalam program Murid Cicir yang digerakkan oleh bekas menteri pelajaran Dr Maszlee Malik.

“Saya bernasib baik kerana anak saya dipilih. Masa saya dapat tahu program murid cicir ini dari aplikasi Whatsapp kejiranan saya tak terus daftar anak saya.

“Saya amat gembira dan anak saya juga sangat suka belajar kerana mereka sebelum ini tidak berpeluang. Memang harapan saya agar selepas ini mereka dapat mengejar pelajaran mereka yang tercicir,” katanya.

Sabtu lepas merupakan kali pertama dua orang anak Norasikin mengikuti kelas intervensif murid cicir di rumahnya di Bangi bersama guru sukarelawan.

Anak Norasikin merupakan antara kumpulan pertama 100 orang pelajar yang terpilih menyertai program murid cicir yang digerakkan badan masyarakat Untuk Malaysia.

Badan itu dilancarkan Maszlee pada November untuk menangani masalah pembelajaran dihadapi pelajar sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Maszlee perkara itu berlaku kerana pelbagai faktor antaranya kerana sekolah ditutup sejak Mac dan penilaian penguasaan murid banyak bergantung kepada ibu bapa.

Program itu mensasarkan murid peringkat prasekolah hingga darjah enam yang masih gagal membaca, menulis dan mengira (3M) pada waktu ini.

Beliau berkata usaha itu juga dimulakan atas gesaan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) dalam laporan yang meminta kerajaan dan semua pihak mengambil berat isu murid tercicir.

Pengerak perubahan mahu bantu murid cicir anggap sumbangan kecil.

Sementara itu guru sukarelawan yang terlibat menganggap ia sebagai sumbangan kecil mereka untuk membantu murid- murid yang keciciran dalam pelajaran.

Ahmad Asyraf Abdul Rahman, 31, berkata sebagai seorang pendidik dia melihat begitu kritikalnya isu murid tercicir yang menyebabkannya nekad untuk mendaftar sebagai guru sukarelawan program itu.

“Saya ada di sini ajar kerana nak ajar golongan murid cicir .Mereka memang wujud anak keciciran ini. Sebab  itu saya turun, saya ajar perkara asas mengira membaca dan menulis.

“Ini rentetan pelaksanaan perintah pergerakan kawalan kerana buat kelas dari rumah ramai tercicir dari pembelajaran. Saya rasa ini saja (sumbangan kecil ) yang boleh  saya sumbang untuk anak bangsa supaya mereka tidak terlalu cicir kebelakang,” katanya.

Ahmad Ashraf berkata sebagai pengerak perubahan dia perlu memperuntukkan satu jam bagi setiap sesi kelas intervensi yang akan diadakan dua kali seminggu.

Ditanya tidakkah tugasnya sebagai guru akan terbeban apabila menawarkan diri menjadi pengerak perubahan, jawabnya, ia merupakan yang perlu dilakukan.

Seorang lagi penggerak perubahan murid cicir, Ahmad Safarman Dollah, 42 berkata beliau menawarkan diri menjadi sukarelawan kerana mahu terus menyumbangkan ilmunya membantu pelajar cicir.

Ahmad Safarman juga seorang cikgu mengajar di sekolah pendalaman di Perak berkata pelajar murid cicir ini sebenarnya mempunyai potensi untuk berjaya dalam pelajaran.

“Saya sewa rumah juga di sebuah kampung yang membuatkan saya sentiasa bergaul dengan ibu bapa dan murid-murid sendiri. Kebanyakan daripada murid-murid saya adalah daripada golongan B40. 

“Pada musim PKP di mana ramai yang tidak bersekolah. Mereka menghabiskan masa dengan lepak dan mandi sungai. Jadi, timbul rasa di hati andai saya memilih beberapa orang daripada mereka untuk saya sendiri meluangkan masa untuk mengajar agar ilmu itu akan berterusan,” katanya.

Ahmad Safarman berkata usahanya itu juga mendapat sokongan dari penduduk kampung yang  menawarkan  tempat untuk dijadikan kelas iaitu sebuah pondok di depan masjid dengan kemudahan  kerusi meja dan kipas. – 9 Mac, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen