DAP sedia buat laporan polis terhadap PM dan Kabinet


DAP mendakwa kegagalan kerajaan PN mengadakan sidang Parlimen bukan hanya satu pengkhianatan terhadap demokrasi tetapi juga penderhakaan terhadap Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2021.

LAPORAN polis akan dibuat terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinet kerana menolak titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata, kegagalan berbuat demikian bukan hanya satu pengkhianatan terhadap demokrasi tetapi juga penderhakaan terhadap Agong.

Beliau juga menegur Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan, yang berkata Parlimen tidak dapat bersidang kerana ahli Parlimen adalah warga emas yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

“Oleh kerana Agong telah bertitah bahawa walaupun perintah darurat berkuatkuasa, Parlimen boleh bersidang pada tarikh yang difikirkannya sesuai, berdasarkan nasihat perdana menteri. 

“Tidak ada alasan bagi perdana menteri untuk tidak memberikan tarikh seawal mungkin untuk sidang Parlimen. Takiyuddin harus berhenti menentang kehendak Agong dan rakyat dengan memutar belit dan berdolak dalih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Takiyuddin berkata sebahagian besar ahli Parlimen tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi dan mereka tidak mahu terdedah kerana mereka akan berada di kawasan tertutup.

“Ketika Parlimen bersidang, setiap ahli Parlimen akan mempunyai tiga pembantu. Jadi, 220 didarabkan dengan tiga. Selain itu, ada pegawai kerajaan.”

Katanya, Muhyiddin memberi jaminan Parlimen boleh bersidang selepas darurat berakhir pada 1 Ogos.

“Itu justifikasi kami. Tiada alasan lain.”

Lim berkata alasan Takiyuddin yang tidak masuk akal bagi menangguhkan persidangan adalah Parlimen tidak digantung, tetapi untuk membolehkan kerajaan memerangi pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan bagi meluluskan ordinan darurat.

“Bagaimana boleh dikatakan Parlimen tidak digantung apabila Parlimen tidak dibenarkan berfungsi dan ahli-ahli Parlimen tidak dapat menjalankan tugas mereka untuk mewakili pengundi mereka dan meluluskan undang-undang seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan?

“Ahli Parlimen pembangkang juga telah menyokong dan tidak pernah menentang sebarang undang-undang untuk memerangi Covid-19. Perintah kawalan pergerakan (PKP) lebih berkesan dalam memerangi Covid-19, bukan Proklamasi Darurat.”

Beliau menambah Takiyuddin tidak jujur kerana mendakwa peruntukan berkaitan berkaitan memanggil, menggantung dan membubar Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi berkuatkuasa ketika perintah darurat dilaksanakan di bawah Artikel 14 (1) Ordinan 2021 (Kuasa-Kuasa Penting) Darurat.  

“Takiyuddin sengaja memilih untuk mengelirukan dengan meninggalkan kata-kata penting dalam ordinan darurat iaitu ‘pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Agong’.” 

Lim berkata Takiyuddin sebaliknya harus menyokong permintaan untuk segera mengadakan sidang Parlimen dengan majoriti ahli Parlimen daripada pembangkang dan pemerintah sekarang.

“Bagi Takiyuddin untuk mendakwa bahawa kerajaan tidak mahu mendedahkan ahli Parlimen kepada risiko yang tidak perlu kerana ramai dari mereka tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk Covid-19, dengan 77 orang ahli Parlimen berusia antara 61 hingga 69, 19 orang antara 70 dan 79 dan empat orang adalah berumur 80 tahun ke atas, adalah satu bentuk penghinaan. Jadi apa gunanya vaksinasi?”

Beliau berkata undang-undang yang diluluskan ketika darurat juga dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan oleh Parlimen.

“Kenaikan penalti untuk pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari RM1,000 kepada RM10,000 denda kompaun untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat adalah melampau dan tidak adil. 

“Melampau kerana hanya seorang menteri dan bukan rakyat biasa mampu menanggung denda yang keras sebegitu.

“Sekiranya seseorang didakwa di mahkamah, dia akan dikenakan hukuman penalti RM100,000 dan penjara tujuh tahun. 

“Ini tidak adil apabila ada dua darjat, di mana menteri tidak didakwa di mahkamah tetapi hanya rakyat biasa didakwa, seperti yang ditunjukkan dalam kes Menteri Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali.”

Lim menambah tiada seorang pun ahli Parlimen dijangkiti virus di Parlimen tetapi dijangkiti di luar Dewan. – 8 Mac, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen