2017 tahun Felda pecah tembelang


Ikhwan Zulkaflee

Pembangunan Kuala Lumpur Vertical Citydi Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Kecoh baru-baru ini mengenai hak milik tanah Felda di lokasi strategik Jalan Semarak itu telah dipindahkan dengan cara yang meragukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Januari, 2018.

SEBAIK sahaja ahli Parlimen Johor Bahru Shahrir Samad mengambil alih jawatan pengerusi Felda dari Isa Samad pada Januari, satu persatu skandal melibatkan agensi tersebut mula terdedah.

Pada 25 Januari, lima pegawainya termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ diberkas bagi siasatan kes penyelewengan projek ternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta.

Bermula dengan teguran oleh Ketua Audit Negara pada 2015, kes projek pengeluaran telur ikan tersebut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melalui Op Caviar.

Hasilnya, bekas pengarah besar Felda Datuk Faizoull Ahmad dan timbalannya dihadapkan ke mahkamah pada Mac atas tuduhan pecah amanah dana Felda dan bersubahat. 

Kes ternakan ikan sturgeon dimulakan pada 2014 itu merupakan tembelang pertama melibatkan Felda yang mula pecah pada 2017. 

Pada waktu itu, sudah timbul kebimbangan sekiranya wujud tangan ghaib yang mengeluarkan arahan dan kelulusan sehingga pegawai terbabit berani bertindak sebegitu.

Di unit perladangan Felda Global Ventures, isu kelewatan bayaran dari satu syarikat Afghanistan, Safitex untuk produk minyak sawit dibekalkan oleh anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Selain itu, nilai saham FGV juga merudum 65%, menghapuskan RM13.4 bilion dari nilai yang dimiliki pemegang sahamnya ekoran pelaburan tidak wajar.

Walhal, terbitan saham FGV merupakan penawaran awam (IPO) kedua paling besar di dunia dengan nilai US$3.1 bilion (RM9.93 bilion) apabila disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012.

Pada akhir Disember, harga saham FGV adalah RM1.69, jauh merosot dari harga awalnya RM4.84 pada Julai 2012.

Kesilapan besar

Antara pelaburan tersebut melibatkan pembelian syarikat United Kingdom, Cambridge Nanosystems Ltd yang mengeluarkan produk nanokarbon berteknologi tinggi. Pelaburan itu menyaksikan kerugian sekurang-kurangnya RM117 juta dalam tempoh empat tahun lalu.

Selain itu, usahama Felda Iffco Sdn Bhd bawah FGV dengan syarikat pengeluar makanan IFFCO yang berpengkalan di Abu Dhabi juga membawa kerugian RM23.6 juta. 

Di Indonesia pula, usaha Felda untuk meluaskan pelaburan dalam satu syarikat di negara itu turut menjadi kebimbangan.

Pelaburan dalam syarikat perladangan PT Eagle High Plantations Tbk dianggap pemerhati sebagai kesilapan paling besar dilakukan oleh agensi tersebut.

Urusniaga untuk menguasai 37% kepentingan dalam Eagle High dimuktamadkan pada April dengan kos AS$505.4 million atau RM2.26 billion.

Empat bulan kemudian, Felda masih tidak mengumumkan maklumat kewangan Eagle High atau menjelaskan kewajaran pelaburan tersebut, lapor The Edge.

Akhbar bisnes itu menyebut, Eagle High dijangka akan memberi hasil pada 2017, tetapi perkara itu tidak berlaku.

Sebaliknya sehingga September, Eagle High menanggung kerugian US$6.33 juta dari hasil sebanyak US$55.45 juta. Ia tidak melaporkan keutungan bagi suku tahunan sejak September 2015.

Pelaburan itu dibuat oleh FIC yang sepatutnya melabur dalam bidang yang tidak membabitkan perladangan.

Malah unit perladangannya FGV juga telah membatalkan rancangan untuk menguasai pegangan dalam Eagle High atas nasihat dua firma berbeza, Bank of America dan JP Morgan atas pelbagai alasan, lapor The Edge.

Sehingga Disember lalu, saham Felda Global Ventures (FGV) jatuh merudum kepada RM1.69 berbanding RM4.84 pada Julai 2012. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Januari, 2018.

Pergolakan dalaman

Di sebalik latar ini, pergolakan besar berlaku di peringkat pemimpin tertinggi Felda dan FGV. 

Walaupun Shahrir Samad mengganti kedudukannya sebagai pengerusi Felda pada Januari, Isa masih mempengerusikan FGV dan unit pelaburan Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd.

Pada Jun 2017, kemelut mula timbul apabila Isa didakwa cuba menyingkirkan pentadbir FGV yang tidak selari dengannya. 

Berikutan itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Zakaria Arshad dipaksa melepaskan jawatannya dari FGV.

Zakaria dan Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha diarahkan bercuti ketika siasatan dijalankan ke atas tunggakan bayaran syarikat Afghanistan, Safitex kepada Delima Oil Products. 

Zakaria menafikan sebarang salah laku dalam kes tersebut dan mengesyorkan agar SPRM menyiasat “apa jua salah laku yang boleh dibongkar”, serta mengumumkan beliau tidak boleh lagi bekerja dengan Isa.

Zakaria juga tampil dengan pendedahan bahawa beliau digantung tugas kerana cuba menghalang pelaburan oleh lembaga pengarah FGV.

Ia antaranya melibatkan projek bernilai £100 juta (kira-kira RM551 juta) untuk mengembangkan Felda Cambridge Nanosystems Ltd yang mengalami kerugian. 

Bekas Pengerusi FGV Isa Samad ketika bercakap kepada pemberita. Persoalan kini timbul sama ada Isa Samad dapat menyelamatkan kerjaya politiknya memandangkan begitu banyak kes berlaku semasa beliau mempengerusikan agensi itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Januari, 2018.

Harga pembelian hartanah terlalu tinggi

Sebulan selepas isu itu timbul, isu pelaburan hartanah oleh Felda yang bernilai ratusan juta ringgit juga menjadi fokus SPRM.

Pada Julai, SPRM membuka siasatan ke atas pembelian sebuah hotel empat bintang di kawasan mewah Kensington di London.

Unit pelaburan Felda, FIC didakwa membeli hartanah tersebut ada Disember 2014 dengan harga £60 juta (RM330 juta), harga yang amat tinggi berbanding harga pasaran.

SPRM juga membuka siasatan ke atas pembelian sebuah hotel, Merdeka Palace di Kuching oleh FIC dengan harga RM160 juta, sedangkan hartanah tersebut hanya bernilai RM50 juta.

Pada Ogos, sebuah lagi pembelian hotel oleh FIC disiasat. Kali ini ia melibatkan Hotel Grand Borneo di Kota Kinabalu. FIC dilaporkan membayar RM86.4 juta bagi pembeliannya pada 2012.

Pada bulan yang sama, Isa, yang merupakan pengarah bukan eksekutif FIC pada waktu itu, ditahan dan direman untuk siasatan.

Tiba pada penghujung tahun, satu lagi kerosakan dalam urus niaga melibatkan Felda diketahui umum. Kali ini didedahkan sendiri melalui laporan media dikuasai BN, Berita Harian.

Akhbar itu melaporkan, hak milik ke atas tanah Felda di lokasi strategik Jalan Semarak bernilai RM270 dipindahkan dengan cara diragui.

Lembaga pengarah Felda mendakwa tidak tahu menahu mengenai kes tersebut namun pengerusinya Shahrir Samad berkata terdapat unsur penipuan dalam urus niaga tersebut.

Hak milik tanah berkenaan dipindahkan kepada Synergy Promenade Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dilantik dan diberi surat kuasa wakil oleh FIC untuk membangunkan projek Kuala Lumpur Vertical City di tanah terbabit.

Siasatan yang dijalankan mendapati pemaju KLVC itu memindahkan hak milik tanah berkenaan kepada syarikat dikuasai Synergy Promenade.

Pemindahan hak milik tanah tersebut pada 2015 melibatkan empat perjanjian jual beli yang setiap satunya berjumlah RM54.5 juta, RM96.9 juta, RM12 juta dan RM106.4 juta.

Persoalan kini timbul sama ada bekas pengerusi Felda, Isa Samad akan dapat menyelamatkan masa depan politiknya memandangkan begitu banyak kes berlaku semasa beliau mempengerusikan agensi itu.

Beliau yang sebelum ini terpaksa menanggung hukuman Umno akibat kesalahan politik wang, sepatutnya berjaya kembali ke arena politik dengan menggunakan platform Felda.

Kawasan tanah rancangan yang menempatkan 1.2 juta pengundi itu juga memilih parti kerajaan sejak enam dekad lalu.

Penganalisis melihat rentetan isu itu mungkin akan menyebabkan warga Felda – yang selama ini merupakan antara penyokong kuat BN – akan mengalih sokongan kepada pembangkang.

Namun apa pun, mungkin lebih banyak lagi tembelang Felda akan pecah sebelum pilihan raya umum ke-14 yang bakal mencorak sikap pengundi. – 2 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen