Spa dibuka tapi tiada pekerja, kata pemain industri


Bernard Saw

Pengusaha spa berdepan dilema baharu apabila premis dibenarkan beroperasi namun mereka kurang pekerja mahir yang kebanyakannya warga asing. – Gambar EPA, 8 Mac, 2021.

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP) membolehkan pusat spa dan kesihatan dibuka semula namun mereka berdepan masalah baharu apabila pekerja yang kebanyakannya adalah warga asing sudah kembali ke negara mereka akibat pandemik Covid-19.

Kini terdapat sekitar 10,000 kekosongan pekerjaan di spa dan pusat kesihatan, kata Gavin Foo salah seorang pengerusi dalam persatuan sektor berkenaan.

Sukar untuk mengupah penduduk tempatan kerana mereka tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan itu.

“Sebanyak 70% lebih suka menggaji pekerja asing yang mahir memberikan perkhidmatan dan rawatan berkenaan.

“Sebagai contoh, industri ini akan mengupah pekerja mahir Thailand untuk memberikan khidmat urut Thailand, pekerja mahir Indonesia untuk urutan Bali dan pekerja mahir Cina untuk memberikan khidmat urut Cina,” katanya yang merupakan naib presiden Persatuan Kesihatan dan Spa Malaysia (Mawspa).

Beliau berkata industri spa kebiasaannya mempunyai 6,000 kekosongan pekerjaan setiap tahun, tetapi kini terdapat 10,000 kekosongan selepas ramai pekerja pulang ke negara asal.

Foo bagaimanapun berjaya menyelamatkan pusat kesihatannya daripada kekurangan pekerja dengan mengupah penduduk tempatan.

Pusatnya iaitu Relax Oasis sudah beberapa tahun melatih dan mengupah ahli terapi tempatan.

Tetapi tambahnya, sukar bagi pusat lain yang berdepan masalah aliran tunai selepas hanya beroperasi sekitar lima bulan sejak PKP pertama pada Mac tahun lalu.

Katanya, walaupun perniagaan dapat kembali beroperasi, mereka berdepan masalah kekurangan pekerja, dan ia menjadi dilema baharu mereka.

Persatuannya meminta Kementerian Dalam Negeri membuka permohonan pengambilan pekerja mahir asing untuk sektor spa dan kesihatan.

Naib Presiden Persatuan Spa Malaysia (Amspa) Hana Halim berkata industri ini hanya beroperasi sekitar setengah tahun pada tahun lalu.

“Kami masih perlu terus membayar sewa dan gaji kerana kerajaan meminta kami untuk tidak mengurangkan gaji. Oleh itu beberapa ahli tidak dapat melakukannya dan terpaksa menutup operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 100 ahli Amspa sudah menutup operasi.

Dalam industri secara keseluruhan 400 syarikat terpaksa gulung tikar.

Katanya, kebanyakan operasi ditutup disebabkan penggunaan ahli terapi asing.

“Ahli terapi asing mungkin sudah kembali ke negara mereka atau visa mungkin tamat dan tidak diperbaharui.

“Pusat yang mengambil pekerja asing kini kekurangan tenaga kerja, jadi tidak lagi dapat beroperasi,” katanya. – 8 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen