Remaja hilang ditemukan lemas 


REMAJA perempuan yang dihanyut arus deras Sungai Nenggiri, di Kampung Pulau Setelu di Gua Musang, sejak petang Jumaat, ditemukan lemas pada 9 pagi tadi kira-kira 15 kilometer daripada tempat mangsa dilaporkan hilang.

Mayat Nur Jannatul Alia Mohd Zamri, 13, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Bertam, ditemukan penduduk kampung terapung di tepi sungai itu ketika mereka menjalankan pencarian menggunakan bot persendirian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan berpakaian lengkap, walaupun badannya bengkak selepas 40 jam hilang.

Beliau berkata, penduduk yang menemukan mayat mangsa terus memaklumkan kepada polis sebelum meminta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat  Gua Musang membawa mayat mangsa naik ke darat.

Pada kejadian 4 petang Jumaat lepas, 20 sekeluarga termasuk mangsa berkelah di Sungai Nenggiri, tidak jauh dari rumahnya di Kampung Pulau Setelu.

Mangsa, Nur Jannatul Alia turun mandi ke sungai itu bersama kakaknya Nur Ain Mohd Zamri, 16, dan seorang sepupu mereka Nur Asma Kamaruddin, 14, sebelum dihanyutkan arus deras.

Nur Ain dan Nur Asma sempat diselamatkan datuk mereka yang berada berhampiran selepas terdengar minta tolong, tetapi Nur Jannatul Alia tidak sempat diselamatkan sebelum hilang dibawa arus.

Sik berkata, mayat mangsa dihantar ke HGM bagi bedah siasat, sebelum membenarkan keluarga mangsa menuntut jenazah itu untuk dikebumikan petang ini.– Bernama, 7 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen