Siap sedia hadapi isu kesihatan mental


RAKYAT di Malaysia perlu bersedia berhadapan dengan isu kesihatan mental akibat trauma yang berpunca dari pandemik Covid-19.

Ini  selepas Pengerusi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta dua anggota tertingginya mengeluarkan amaran bahawa dunia perlu bersiap sedia berhadapan dengan trauma mental yang akan mempengaruhi masyarakat untuk beberapa tahun mendatang.

Beliau juga mendakwa masyarakat seluruh dunia akan berdepan dengan trauma yang lebih teruk berbanding apa yang berlaku selepas Perang Dunia Ke-2 selepas ramai mengalami trauma setelah didera, kehilangan ahli keluarga, rakan, kemusnahan rumah, harta benda dan sebagainya.

Ada banyak cara bagaimana tekanan perasaan sehingga mempengaruhi kesihatan mental ini berlaku. Sebagai contoh selain risau kepada kesihatan diri, putus pendapatan isi rumah juga menjadi punca utama tekanan setelah ramai kehilangan kerja akibat pelaksanaan PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang membawa maut.

Tidak terkecuali mereka yang tertekan untuk menyelesaikan hutang selain mendorong pertelingkahan dalam keluarga sehingga berlakunya penderaan mental dan fizikal yang mempengaruhi kesihatan mental.

Begitu juga ahli keluarga yang tidak dapat melawat keluarga di hospital yang ditahan akibat wabak ini apatah lagi bila ahli keluarga meninggal dunia dan keluarga tidak dapat melihat mangsa buat kali terakhir apatah lagi menguruskan jenazah mangsa.

Petugas barisan hadapan juga terkesan apabila mereka terpaksa berkerja lebih masa, cuti dibekukan, keletihan dan sebagainya.

Dalam isu ini kerajaan perlu melakukan persiapan rapi bagi berhadapan dengan sebarang kemungkinan terkait isu ini. Selain itu masyarakat perlu memainkan peranan bagi membantu komuniti dalam menghadapi pandemik ini. – 7 Mac, 2021.


* Razeef Rakimin adalah Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Sabah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen