KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) menyambut setahun pentadbiran mereka pada 1 Mac dengan tema “Setahun Malaysia Prihatin”.
Sedar atau tidak, sudah hampir 365 hari Muhyiddin Yasin membentuk kerajaan yang “tidak dipilih rakyat” dan hanya diperlukan oleh orang-orang yang tamak kuasa seperti Bersatu, Umno, PAS, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Setelah setahun berlalu, kerajaan PN masih lagi tidak stabil. Tiga parti Melayu dan Islam (Umno, PAS dan Bersatu) saling bercakaran di tengah kesusahan rakyat yang masih lagi mencongak duit i-Sinar untuk meneruskan kehidupan yang kian sukar ketika pandemik.
Apakah teladan yang ditunjukkan oleh PN ini benar-benar prihatin di mata rakyat?
Prihatin untuk menteri, bukan rakyat
Jujur saya katakan, penggunaan perkataan “prihatin” dalam menyambut ulang tahun PN di Putrajaya penuh klise dan tidak kena langsung dengan kelemahan tadbir urus mahupun kepimpinan kerajaan Muhyiddin.
Persoalannya, apakah selama ini pemimpin di Malaysia tidak prihatin sejak Malaysia ditubuhkan? Apakah Malaysia baru sahaja prihatin dalam tempoh setahun? Sejauh mana PN prihatin kepada rakyat?
Ya, memang PN sebuah kerajaan prihatin, tetapi prihatin kepada menteri yang bebas melanggar SOP tanpa dikenakan hukuman yang setimpal.
Muhyiddin prihatin kepada ahli parlimen kerajaan yang mahu dilantik dalam GLC dan agensi kerajaan semata-mata untuk memastikan agar sokongan tidak lari.
Kerajaan PN hanya prihatin kepada perdana menteri sehingga sanggup memperkecilkan institusi Parlimen untuk mengelak “abah” kesayangan mereka hilang kepercayaan ahli Parlimen.
Cuma, PN tidak prihatin kepada rakyat Malaysia yang terpaksa menghadapi ujian hilang pekerjaan dan pendapatan ketika kes pandemik kian tinggi.
PN tidak prihatin kepada barisan hadapan yang membanting tulang memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik untuk segera pulih daripada Covid-19.
PN juga tidak prihatin kepada ibu bapa dan anak-anak sekolah yang masih lagi bingung dan marah atas dasar pendidikan yang tunggang-tebalik dan berubah pada saat-saat akhir.
Atas sikap buruk pemimpin PN inilah, rakyat sendiri melihat kerajaan Muhyiddin bersikap “dua darjat”.
Daripada pelajar sekolah rendah sehingga warga emas, rakyat bandar dan luar bandar, tidak kira etnik dan agama, sama-sama rasa marah dan kecewa dengan amalan dua darjat PN.
Sikap dua darjat PN akan memberi impak yang buruk kepada usaha membina semula negara pasca krisis pandemik kerana jurang persefahaman dan sikap hormat-menghormati antara rakyat dan pemimpin semakin luas dan terhakis.
Kerajaan PN telah shutdown dan kaku dalam soal membantu rakyat ketika pandemik. Disebabkan kerajaan PN begitu lemah, rakyat sendiri telah mengumpulkan sumber dan tenaga untuk membantu mereka yang memerlukan.
Sikap #KitaJagaKita yang ditunjukkan rakyat akhirnya telah meringankan beban golongan susah dengan menyalurkan bantuan makanan mahupun kewangan dan menyediakan peranti untuk anak-anak belajar atas talian.
Jadi, apakah rasional menggelar kerajaan PN prihatin sekiranya semua kerja membantu rakyat dilakukan rakyat sendiri?
Rakyat sudah sedar
Sebab itu, tema kerajaan ‘prihatin’ tidak sesuai untuk mengambarkan situasi buruk kerajaan PN. Tema yang paling sesuai dengan sambutan setahun PN di Putrajaya ialah “Setahun Kerajaan Tidak Dipilih Rakyat”.
Tema ini memberi gambaran jelas kepada rakyat betapa malangnya Malaysia ditadbir pemimpin yang mereka tidak pilih dan gagal mengatasi krisis secara adil dan saksama.
Selagi kerajaan PN masih di Putrajaya, rakyat akan terus dippingirkan dan krisis pandemik tidak mampu dipulihkan secara menyeluruh.
Di tengah-tengah kegelisahan rakyat ketika pandemik masih belum reda, PN masih sempat bermain politik dan membeli dua orang ahli Parlimen pembangkang untuk menambah jumlah majoriti di Parlimen.
Tetapi, hal ini tidak memberi sebarang jaminan kedudukan Muhyiddin kukuh memandangkan terdapat khabar angin Umno pula akan menarik sokongan yang boleh menjatuhkan kerajaan Muhyiddin.
Realitinya, Muhyiddin sudah tidak mempunyai perancangan yang jelas untuk membawa Malaysia ke hadapan kecuali mempercepatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk kekal di Putrajaya.
Jika benar Muhyiddin ingin memanggil pilihan raya atas dakwaan PN sudah menang perang Covid-19 dan berjaya menambat hati rakyat untuk mengekalkan mereka di Putrajaya, jangkaan tersebut tidak memberi refleksi sebenar sentimen dan pandangan rakyat terbanyak.
Keburukan pentadbiran PN telah menyedarkan rakyat bahawa mereka perlu mempunyai sebuah kerajaan berfungsi bagi membantu rakyat melebihi sebuah kerajaan yang hanya mementingkan sesuatu kaum dan agama tetapi gagal memberi khidmat terbaik buat rakyat.
Rakyat sudah mula membicarakan model pentadbiran sebuah kerajaan yang bersikap terbuka dan sanggup bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk pembangkang dalam proses membuat dasar awam dan keputusan terpenting negara.
Mereka tidak mahu lagi mempunyai sebuah kerajaan angkuh, “serba tahu”, tidak mahu bekerjasama dan cuba mengawal parlimen dengan majoriti dua pertiga seperti yang dimahukan kerajaan PN.
Cukuplah setahun dikhianati
Rakyat sudah lelah dengan konflik politik PN yang tidak memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat dan negara pasca pandemik Covid-19.
Amalan politik lama yang cuba dihidupkan PN sudah tidak mampu menjawab persoalan-persoalan penting untuk membina asas yang baik buat Malaysia selepas pandemik.
Rakyat sudah mula memikirkan masa depan politik Malaysia yang stabil dan berdaya tahan. Mereka lebih cenderung untuk melihat politik negara membahaskan dasar-dasar awam yang mengambil kira kepentingan semua pihak berdasarkan sains dan fakta.
Cukuplah setahun rakyat dikhinati PN. Rakyat tidak mahu kerajaan bukan pilihan mereka kembali semula di Putrajaya untuk selama-lamanya.
Kerosakan nilai dan sistem demokrasi yang dilakukan oleh PN tidak boleh dimaafkan dan diulangi lagi untuk masa hadapan.
Setahun yang menyusahkan rakyat ini perlu berakhir dengan segera. Rakyat Malaysia berhak menerima sebuah kerajaan yang berwibawa dan lebih baik untuk mentadbir negara. – 7 Mac, 2021.
* Fakhrurrazi Rashid, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen