Kutu politik dan politik skizofrenik


TIDAK dinafikan dunia politik adalah dunia yang penuh dengan kedinamikan. Ini adalah pentas di mana segala sesuatu bergerak dan berubah dengan cepat umpama mesin speedometer.

Bahkan ramai yang mendengar kata-kata yang berbunyi “tidak ada kawan dan lawan yang kekal dalam politik, yang adalah kepentingan tertentu”.

Maka menjadi wajar jika dalam dunia politik, situasi kutu politik berlaku, kutu-kutu akan meloncat daripada satu kepala ke satu kepala malah mereka adalah parasit, selepas mengisap kepala seseorang mereka akan meloncat ke kepala pihak lain selepas mendapat tawaran-tawaran tertentu. 

Dalam konteks politik negara, kita merangkum fenomena tersebut ke dalam satu frasa: langkah yang diambil oleh sesetengah sang politikus adalah kutu yang meloncat dari satu kepala ke satu kepala. Alegori dikaitkan dengan isu loncatan politik semenjak berlakunya Langkah loncatan kutu Sheraton.

Oleh itu secara terang-terangan apa yang kita lihat didasari oleh hasrat dan kepentingan dalam meraih kekuasaan, jauh sekali memperjuangkan perubahan sosial dan kesejahteraan rakyat.

Kutu-kutu politik ini tidak hanya mudah meloncat-loncat parti dan menukar haluan politik, namun ia membelakangkan prinsip perjuangan dan janji mereka kepada rakyat. Hahaha mereka akan memberikan seribu alasan yang rasional guna membenarkan tindakan mereka. 

Fenomena kutu loncat dapat dinilai melalui penjajaran politik kerajaan PN sekarang supaya kerusi parlimen melebihi kerusi pembangkang. Dalam konteks in, sederetan nama yang meloncat telah diketahui umum dan tidak perlu menyenaraikan lagi. 

Tiada undang-undang yang dapat menyekatkan kutu politik yang meloncat ini walaupun PKR menyaman dengan nilai RM10 juta terhadap ahli parlimennya yang  meloncat itu.

Dalam sistem demokrasi seperti yang kita anuti, setiap orang  memiliki kebebasan untuk mengekspresikan kecenderungan politiknya, termasuk berpindah parti, bahkan pernsip perjuangan dan ideologi sekalipun. 

Fenomena sang kutu politikus meloncat ini telah menjadikan wajah politik kita sarat dengan nuansa skizofrenik . Apa yang dimaskudkan di sini, ia adalah suatu keadaan di mana ruang-ruang politik sekarang telah sesak dan bersimpang siur oleh pelbagai bentuk kontradiksi, pertentangan,  perbezaan, kekeliruan dan  sekaligus paradoks.

Dalam konteks politik negara, skizofrenik politik tampak jelas  dalam tingkah laku para elit politik yang memiliki kecenderungan tidak konsisten dalam berpolitik.

Mereka mengantikan banyak pelitup bagi memudahkan gerakan mereka kerana yang memerhati hanya mata tanpa pendedahan wajah. Apabila siang wajahnya lain, ketika malam melabuh tirainya wajah sebenar akan muncul dan kutu meloncat akan memainkan peranannya.

Bayangkan betapa sulit kiranya kita mencari sosok sang politikus yang benar-benar konsisten menjaga kesesuaian antara ideologi yang dianuti dan prinsip politik yang diperjuangkan kerana segala yang disebut hanyalah bicara mulut sahaja.

Sebaliknya, sangat mudah bagi kita untuk menemukan politikus karakter janus face, alias talam dua muka yang memiliki kepribadian skizofrenik.

Selain politik skizofrenik yang mempunyai banyak wajah yang penuh kemunafikan, fenomena politikus kutu loncat juga merubah wajah politik kita menuju ke arah dekaden iaitu mundur dan merosot. Kemerosotan dalam nilai politik adalah adalah keadaan ketika politik kehilangan makna dan zatnya sebagai alat perjuangan sosial untuk rakyat.

Dekadensi politik secara jelas dalam praktik politik tidak lagi berorientasi pada perjuangan untuk rakyat tetapi telah bertukar menjadi sebagai kegiatan-kegiatan meraih kekuasaan.

Kemerosotam ini berlaku kerana sang kutu loncat dan elit politik di belakang mereka telah menempatkan kuasa sebagai tujuan utama dalam berpolitik, lalu mengabaikan angkubah nilai dan prinsip perjuangan. Kuasa yang dimaksudkan ialah kuasa kepada diri dan kelompok mereka dan bukan memberikan kuasa kepada rakyat.

Dalam kedudukan yang demikian, kegiatan politik berjalan tanpa tujuan yang pasti, komunikasi politik menjadi kabur, prinsip perjuangan mengalami pendangkalan, dan etika politik terjerumus ke titik yang paling rendah.

Dalam situasi yang dekaden itu, politik telah kehilangan zatnya sebagai alat perubahan dan terjebak dalam pola hubungan yang serba transaksional, apapun boleh asal ikut hasrat dan naluri kepentingan orang tertentu.

Kita kembali mengingatkan bahawa politik kita hari ini telah terjerumus ke dalam logika Harold Laswell, seorang cendiakiwan komunikasi atau pemikiran Laswellian yang mengkonsepsikan makna komunikasi sebagai who gets what, when, and how. Nalar Laswellian menempatkan politik sebagai kegiatan transaksi atau pertukaran yang saling menguntungkan yang akhirnya menuju kepada who gets what, when, and how.

Dalam logika yang demikian itu, perilaku dan strategi politikus lebih sering dituruti oleh kehendak untuk berkuasa (will to power), bukan kehendak untuk membawa perubahan (will to change) kepada rakyat.  Kehendak berkuasa seperti bilakah pilihan raya akan diadakan walaupun masa untuk pilihan raya masih jauh iaitu dua atau tiga tahun lagi.

Daripada kemunduran politik ini, rakyatlah yang menerima bahana iaitu harga yang dibayar daripada sang kutu loncat ini. Dari satu sisi, politik gagal memberikan rangsangan kepada terciptanya perubahan sosial lantaran para aktornya sudah terjebak dalam kepentingan yang bersifat egosentris, ego keterlauan mementingkan diri dan kelompok.

Dinamika politik kita gagal melahirkan sosok-sosok pejuang politik generasi muda, yang kita lihat sekarang hanya melahirkan petualang politik yang menjadikan parti dan kepentingan kelompok sebagai alat meraih kekuasaan. Dunia politik negara mengalami semacam krisis kerana ketidakmampuannya mengubah, mereformasi sekaligus mentransformasikan diri aktor politik itu sendiri.

Di sisi lain, kemunduran politik juga menghambat terciptanya masyarakat awam yang bosan politik. Ini terjadi kerana pertandingan dan persaingan politik  lebih mirip seperti panggung teater yang penuh kepalsuan dan kepura-puraan. Rakyat tidak mendapatkan pendidikan, apalagi pencerahan politik kerana wacana politik yang disodorkan para elit cenderung dangkal dan tidak mencerahkan.

Pilihan raya umum  seharusnya tidak berakhir menjadi pentas penipuan, medan merampas mandat rakyat yang mengundi empat atau lima setahun sekali itu. Lebih dari itu, pilihan raya  idealnya tidak lebih pesta janji palsu yang kemudian akan menyaksi munculnya kutu politik yang membelakangi rayat dan kutu loncat, menipu dan merampas mandate dan amanah yang rakyat berikan.

Akhirnya pilihan raya adalah tempat para petualang politik untuk melunasi hasratnya kepada kekuasaan dengan mengkhianati undian yang dibuat rakyat selepas menang. – 6 Mac, 2021.


* Ismail Hashim Yahaya adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen