Ali Rustam canselor UTem baharu


Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Mohd Rustam dilantik sebagai canselor UTeM ketiga. – Gambar Facebook, 6 Mac 2021.

YANG Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Mohd Rustam dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang ketiga.

Pelantikan Ali, 72, sebagai canselor UTeM berkuat kuasa selama empat tahun mulai 15 Ogos 2020 hingga 3 Jun 2024, telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah.

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad mewakili Seri Paduka Baginda menyerahkan watikah pelantikan pada upacara pemasyhuran yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Ayer Keroh, semalam.

Ali menggantikan canselor terdahulu yang juga bekas Yang Dipertua Negeri Melaka keenam Mohd Khalil Yaakob.

Turut hadir pada upacara pemasyhuran itu ialah isteri Ali, Asmah Abdul Rahman; Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali, Pro-Canselor UTeM iaitu Halim Saad dan Sabirin Ja’afar.

Ali dalam ucapannya berkata UTeM merupakan universiti teknikal pertama yang diwujudkan di Malaysia pada 1 Disember 2000 untuk memartabatkan ilmu melalui pendidikan, penyelidikan dan kesarjanaan teknikal yang inovatif dan kreatif.

Justeru, katanya institusi itu perlu berada dalam arus perdana pendidikan tinggi negara sebagai daya penggerak utama membentuk hala tuju baharu masyarakat Malaysia ke arah transformasi ekonomi dan sosial khususnya dalam era ledakan Industri 4.0 dan ekonomi digital.

“Saya juga melihat UTeM sentiasa komited membantu negara dan negeri Melaka dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi berpacukan industri.

“Pelaksanaan peta strategi pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dijangka mampu menghasilkan siswazah yang seimbang, holistik dan berciri keusahawanan untuk membangunkan negeri dan negara amnya,” katanya.

Ali berkata dalam konteks arus perdana pembangunan negara pula, UTeM dilibatkan oleh pembuat dasar di semua peringkat dalam merencana hala tuju strategik negara, terutama yang melibatkan bidang kejuruteraan, teknologi serta TVET. 

“Kerjasama pintar dan jaringan bersama kesemua pemegang taruh seperti industri, kerajaan Persekutuan dan negeri serta komuniti perlu terus dipertingkatkan lantas mampu merealisasikan agenda global iaitu matlamat pembangunan kelestarian pada 2030. – Bernama, 6 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen