KEMENTERIAN Kesihatan mengesan 10 kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.
Lapan dikaitkan dengan tempat kerja manakala satu penularan komuniti dan satu lagi berkait aktiviti keagamaan.
Kluster Kampung Nyatoh dikaitkan dengan sekolah agama di Kampung Nyatoh, Rantau di Seremban. Ia melaporkan 74 kes dan turut menjangkiti kawasan Gombak, Selangor.
Kluster tapak pembinaan Japan Zamrud merekodkan 21 kes manakala kluster Industri Jaya di Cheras yang dikaitkan dengan sebuah kilang melaporkan 14 kes. Kedua-dua kluster itu adalah di Hulu Langat, Selangor.
21 kes dikaitkan dengan pekerja kilang di Jalan Dato Sellathevan di Klang, Selangor.
Kluster Meranti Utama di Sepang, Selangor merekodkan 11 kes dan dikaitkan dengan sebuah kilang.
Di Perak, kluster Jalan Senu merekodkan 10 kes dan kesemuanya berkait aktiviti agama.
Dua kluster baharu dilaporkan di Cheras, Kuala Lumpur. Sebuah pasar raya dikaitkan dengan kluster Jalan Mutiara Barat yang merekodkan 17 kes dan sebuah kilang dikaitkan dengan kluster Persiaran Alam yang menyaksikan 17 kes.
Di Sabah, kluster komuniti Kuala Punteh di Keningau melaporkan 25 kes. – 5 Mac, 2021.
Komen