BARISAN Nasional (BN) menggantung tugas seorang pegawai media selama sebulan untuk menjalankan siasatan dalaman ekoran kekeliruan kenyataan media Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Setiausaha Eksekutif BN Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata pegawai tersebut membuat kesilapan dalam kenyataan Zahid yang dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi semalam.
Dalam satu kenyataan, Zahid didakwa berkata BN merayu kepada Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Beliau juga berkata BN mencadangkan wakil gabungan itu di Dewan Rakyat untuk menggesa Perdana Menteri dan Kabinet menghormati pandangan Agong bahawa sidang Parlimen perlu diadakan terutamanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dilonggarkan.
Bagaimanapun pemimpin parti BN lain yang menyertai mesyuarat itu bercanggah pendapat tentang perkara tersebut.
Presiden MIC SA Vigneswaran dilaporkan berkata mesyuarat BN tidak menyokong sebarang rayuan terhadap Agong untuk mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin.
Presiden MCA Wee Ka Siong juga mengesahkan kenyataan Vigneswaran.
Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup berkata, majlis tertinggi BN tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Mohamad Sahfri berkata kenyataan Zahid yang dikeluarkan semalam tidak diluluskan sekretariat.
Selain isu kekeliruan itu, kebanyakan pengguna media sosial mendakwa kenyataan Zahid hampir sama seperti kenyataan yang dikeluarkan Pakatan Harapan pada waktu yang hampir sama.
Pakatan juga merayu kepada Agong untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan segera. – 5 Mac, 2021.
Komen