Rayuan bantuan agensi pekerjaan swasta


SAYA seorang pengarah syarikat di agensi pekerjaan swasta (APS) yang berdaftar secara sah sejak tahun 2012 dan mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja dengan mendapatkan lesen sah kategori B daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM). 

Saya agak terkilan kerana tiada tindak balas daripada kementerian dan juga jabatan terlibat untuk mengambil tahu tentang semua APS yang telah menunggu selama setahun untuk kerajaan berbuat sesuatu yang baik buat kami.

Sejak sempadan negara ditutup, tiada kemasukan pekerja asing. Kita faham atas dasar keselamatan dan kesihatan rakyat, tetapi saya yakin bahawa negara yang melibatkan pekerja asing kini sedang dalam usaha mendapatkan vaksin. 

Bukan itu sahaja kerajaan juga tidak memberikan peluang kepada APS untuk mendapatkan wang Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), walaupun kami sebagai orang tengah mendapatkan pekerja dan menempatkan mereka di tempat majikan. 

Bukan senang kita mendapatkan pekerja tempatan memandangkan calon pekerja sendiri juga boleh melalui banyak laman web pencarian pekerjaan dan media sosial. 

Di Malaysia, ada lebih kurang 1,100 agensi berdaftar dengan lesen sah dibawah JTKSM. Saya yakin ramai yang sudah tutup pejabat sebab mereka dah buntu dengan macam-macam masalah yang dilalui.

Pihak kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan JTKSM haruslah memandang agensi berdaftar yang sedang dalam masalah.

Segelintir APS tidak dapat membuat pembaharuan lesen kerana telah memaklumkan proses pembaharuan bukan dimudahkan, bahkan disusahkan.

Kebanyakan APS tiada perniagaan di mana-mana jabatan terlibat melainkan majikan melantik kami barulah kami bernafas.

Walaupun saya sendiri membuat urusan pembantu rumah tempatan atau sektor lain, tidaklah besar pendapatan yang saya dapat – hanya cukup untuk membayar sewa pejabat, bil utiliti, gaji pekerja dan membayar lesen, membuat serba sedikit iklan berbayar dan juga pembaharuan laman web saya. 

Pada masa berlaku persidangan anjuran KSM pada 2018, saya berada di dewan itu, JTKSM memaklumkan bahawa kami semua adalah agensi bertauliah yang akan membantu kerajaan dengan menempatkan pekerja asing dan pekerja tempatan. Sekarang apa yang berlaku? 

Disebabkan kami semua membayar wang jaminan, kami mempunyai hak untuk bersuara dan kami dalam nyawa-nyawa ikan sekarang ini. 

Seharusnya jika kerajaan tidak dapat membantu kami,sekurang-kurangnya ringankan beban kami sewaktu Covid-19 ini dengan membuka peluang untuk mendapat bantuan wang Penjana. Saya yakin semua APS akan berusaha sebaiknya ikut kemampuan masing masing 

Kerajaan juga harus memastikan semua proses di Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan lain lain berkaitan dibuat sepenuhnya oleh agensi berdaftar kerana ada seksyen dan akta yang menyentuh bahagian tertentu.   

Memandangkan saya juga memegang jawatan dalam salah sebuah persatuan, saya agak hairan kenapa tiada maklum balas dari kerajaan setelah surat-surat dihantar.

Saya sangat hairan sedangkan surat-surat tersebut dibuat untuk membantu dan memberi cadangan kepada kerajaan. 

Gunakan Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 yang dikeluarkan oleh kerajaan sendiri demi kebaikan negara kita.

Saya mencadangkan kepada kerajaan agar semua APS mendaftar semula dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) supaya semua dijalankan dengan teratur dan kami boleh menjalankan perniagaan kami semula dengan adanya lesen sah di bawah JTKSM.

Sebelum menggulung tikar, untuk pengetahuan kerajaan saya adalah agensi yang berjaya menempatkan pembantu rumah warga tempatan dan saya berjaya memenuhi 40 peratus permintaan pelanggan dengan menggunakan saluran yang saya usahakan. 

Untuk pengetahuan, sebanyak 250 majikan bertanya dan menunggu calon pembantu rumah.

Saya cuba usahakan dari pekerja tempatan dan saya tidak dapat memenuhi permintaan majikan segera kerana bukan semua warga tempatan berminat dengan pekerjaan ini.

Walaupun saya telah menawarkan banyak pakej termasuk KWSP supaya rakyat tempatan ini tertarik dan mereka akan nampak sesuatu yang realiti bila bekerja sebagai pembantu rumah tempatan akan tetapi masih tidak kesampaian. 

Saya berpendapat dan mencadangkan kepada kerajaan perlu membuka sektor pembantu rumah asing dengan SOP ketat melalui APS , kita pasti akan ikut dengan baik.

Dan sudah tentunya negara sumber akan lebih aman kerana rakyat nya dilindungi dengan baik jika APS yang memantau. 

Mana-mana majikan yang setuju dengan kos yang dikenakan oleh kerajaan untuk pembantu rumah asing mereka boleh teruskan dan ikuti dengan SOP ketat dan teratur. Saya yakin dengan SOP ketat dan dengan adanya APS, dapat membantu kerajaan juga. 

Janganlah sehingga wanita bekerjaya kehilangan kerja kerana terpaksa duduk dirumah kerana tiada yang menjaga anak anak dan orang tua mereka. Bukankah wanita kerjaya ini juga salah satu faktor kenaikan ekonomi negara?

Demi kerajaan kita akan berkhidmat dengan baik dan teratur, mohon untuk membantu kami juga. 

Saya juga berjaya mendapatkan video testimoni daripada pembantu rumah asing yang bekerja dengan majikan di Malaysia supaya majikan tidak mendapat nama buruk lagi di negara sumber. 

Saya percaya rezeki datangnya dari Allah SWT dan saya percaya undang-undang dunia dibuat oleh manusia.  Maka dengan itu, KSM dan JTK, mohon berikan sedikit prihatin kepada kami.

Hapuskan perkara-perkara yang boleh memudaratkan dan menjejaskan seperti “recyle maid” dan “agen haram” yang banyak sekarang mengambil kesempatan ke atas majikan dan akhirnya mereka kena tipu. 

Sebelum ini kami boleh membuat semua aktiviti dengan baik, tetapi sejak Covid-19 ini banyak yang perlu dijimatkan dan mengurangkan kos supaya dapat bertahan.

Dengarlah keluhan dan suara kami – Mohon membuka sektor pembantu rumah asing kerana ia adalah keperluan. Saya sokong kerajaan untuk utamakan warga tempatan namun bukan semua warga tempatan berminat dengan pekerjaan ini. – 5 Mac, 2021.

* Zubaidah Mubarruck Ali, pembaca The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen