Industri perabot kurang pekerja, rakyat tempatan tak berminat


Khoo Gek San

Dasar tenaga kerja asing yang sering berubah menyebabkan sektor perabot mengalami kekurangan tenaga kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2021.

PERMINTAAN terhadap perabot semakin meningkat susulan arahan dari rumah akibat pandemik Covid-19, selain perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat sebelum bermulanya wabak.

Bagaimanapun, dasar tenaga kerja asing yang sering berubah menyebabkan sektor ini mengalami kekurangan tenaga kerja.

Presiden Majlis Perabot Malaysia (MFC) Khoo Yeow Chong berkata, walaupun kerajaan sentiasa mendorong automasi dan meningkatkan keupayaan pembuatan, beberapa perkara masih perlu guna keringat tangan dan pekerja perlukan latihan dahulu.

Hasilnya, pengeluar dalam industri ini kini rancak bersaing untuk menggaji pekerja mahir.

Khoo berkata banyak buruh terlatih juga telah kembali ke negara asal mereka ketika wabak itu melanda dan tidak dapat kembali ke Malaysia untuk bekerja kerana sempadan ditutup, sekali gus memperburukkan lagi kekurangan pekerja.

Beliau berkata pengeluar kini menawarkan upah yang lebih tinggi untuk memburu pekerja dari pesaing.

Khoo memberitahu The Malaysian Insight tinjauan terbaru oleh MFC mendapati 147 kilang di sektor ini kini menghadapi kekurangan 20,000 pekerja.

Syarikat juga telah mengiklan secara meluas untuk mengupah rakyat tempatan selain meminta bantuan kerajaan, tetapi setakat ini sangat mengecewakan.

“Pekerja asing hanya memperoleh RM1,200 sebulan, itu yang terendah. Rakyat tempatan yang diupah di kilang seperti itu dibayar sekitar RM1,400 hingga RM1,500 sebulan, tidak termasuk elaun, tempat tinggal dan makanan. Jika rakyat tempatan bekerja secara lebih masa, tak susah untuk dapat lebih daripada RM2,000 sebulan,” katanya.

Khoo juga berkata buruh asing biasanya datang ke Malaysia dengan satu-satunya tujuan iaitu untuk mendapatkan wang dan sering bekerja secara bergilir untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Sebaliknya, katanya, rakyat tempatan jarang sekali ingin bekerja lebih masa, malah dengan sesetengah yang datang dari negeri lain begitu saja melepaskan peluang pekerjaan mereka, sebab mereka perlu tinggalkan kampung mereka.

“Ada cadangan untuk pindahkan operasi ke negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu sebelum ini dan pemain industri telah mempertimbangkannya. Mereka akhirnya putuskan untuk tidak teruskan sebab ia akan naikkan kos logistik seperti bahan mentah dan kos pengangkutan produk,” katanya.

Daripada membiarkan perjalanan antara negeri kembali, Khoo berkata, kerajaan malah perlu mula menghalalkan pendatang tanpa izin untuk menyelesaikan kekurangan tenaga kerja dalam banyak sektor.

“Di tengah pandemik ini, perniagaan yang memohon buruh asing harus menanggung ujian perubatan dan biaya kuarantin, selain biaya lain yang ditanggung oleh buruh di negara asalnya. Semua ini menjangkau puluhan ribu ringgit.

“Lebih baik kerajaan menghalalkan pendatang tanpa izin supaya syarikat yang layak dapat ambil pekerja dengan lebih cepat, yang akan meringankan masalah kekurangan tenaga kerja,” katanya.

Sementara itu, Khoo berkata, kilang juga berisiko ditutup jika mereka menerima terlalu banyak pesanan yang tidak dapat diselesaikan kerana kekurangan tenaga kerja, yang menyebabkan hukuman berat kerana gagal penuhi kontrak.

“Jabatan Imigresen pada masa ini menahan sejumlah besar pendatang tanpa izin yang tidak dapat dihantar pulang kerana pandemik, mengapa tidak percepat proses pengesahan? Ini bukan hanya akan menjimatkan kerajaan, tetapi juga dapat atasi kekurangan tenaga kerja.

“Kami telah bekerja keras untuk mencari peluang di tengah perang perdagangan AS-China dan dapat banyak pesanan. Jika kami gagal kerana kekurangan tenaga kerja, itu akan memalukan,” katanya. – 5 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen