Polis siasat 2 kes cuba jual vaksin Covid-19


POLIS menyiasat dua kes penipuan penjualan vaksin Covid-19 melibatkan kerugian lebih RM285,000, ketika kerajaan mengumumkan vaksin pandemik itu diberi percuma kepada rakyat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Zainuddin Yaacob berkata siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, bagi jenayah menipu melibatkan harta, selepas pihak polis menerima dua laporan.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mengesan terdapat penularan informasi di media sosial berkenaan penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian. Kami juga menerima dua laporan polis berhubung isu ini.

“Walaupun pihak pengendali perkhidmatan jualan berkenaan telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan terdapatnya iklan tersebut, namun polis tidak menolak kemungkinan wujudnya iklan-iklan palsu berkenaan penjualan vaksin Covid-19 pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Zainuddin, tawaran penjualan vaksin Covid-19 oleh mana-mana pihak adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan mungkin satu penipuan.

“Kami akan membuat pemantauan secara berterusan bagi mengesan dan membanteras mana-mana pihak yang cuba mengiklankan penjualan vaksin secara dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak tidak bertangungjawab selain sentiasa peka dengan pengumuman serta arahan kerajaan berkaitan program vaksinasi Covid-19. – 4 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen