KEGIATAN mencuri elektrik melalui sambungan haram bernilai RM90,000 oleh tiga premis perniagaan di Medan Perniagaan Kepayang di Seremban terbongkar dalam satu serbuan semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) negeri kira-kira 3.30 petang.
Beliau berkata premis terbabit disyaki menjalankan kegiatan itu melalui sambungan elektrik secara tidak sah dan berselindung di sebalik kegiatan perlombongan mata wang kripto Bitcoin sejak dua tahun lepas.
“Mereka menggunakan modus operandi dengan menyewa premis bangunan tiga tingkat bagi mengelak dihidu pihak berkuasa sebelum membuat penyambungan elektrik secara haram.
“TNB negeri dimaklumkan berlaku litar pintas sebelum membuat laporan polis. Mereka (TNB) juga tidak dapat mengesan kegiatan itu dalam sistem kerana tidak melalui meter eletrik,” katanya ketika dihubungi Bernama, di Seremban hari ini.
Beliau berkata TNB mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM2 juta dalam tempoh dua tahun akibat kegiatan mencuri elektrik itu.
Aibee berkata hasil pemeriksaan selama tiga jam itu, polis berjaya merampas beberapa barangan termasuk 206 unit mesin bitcoin, tiga komputer dan beberapa unit router TP Link.
“Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti dalang dan rangkaian sindiket dalam usaha membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab itu” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 37 (1), Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.– Bernama, 4 Mac, 2021.
Komen