SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerusi pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) sedang dalam tindakan menyelesaikan masalah capaian internet yang dihadapi di beberapa lokasi dalam negara.
Terbaru, ia melibatkan usaha di Kampung Orang Asli Sungai Belankan di Kuala Langat, Selangor; Kampung Orang Asli Lakai di Jelebu, Negeri Sembilan; Kampung Sungai Chengkeh di Pontian, Johor dan Projek Perumahan Rakyat Melana Indah, Tampoi, Johor.
Menurut SKMM, hasil siasatannya mendapati pelajar Orang Asli suku Mah Meri di Kuala Langat menghadapi capaian internet lemah ketika mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan rumahnya di kawasan terpencil.
SKMM berkata satu ujian liputan telah dijalankan pada akhir Februari dan didapati kualiti liputan selular di rumah pengadu adalah tidak memuaskan.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, sebuah menara komunikasi yang terletak berhampiran kawasan rumahnya akan dinaik taraf kepada 4G di bawah pelan Jendela yang bakal bermula pada suku kedua 2021,” kata SKMM dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi Kampung Orang Asli di Jelebu, kawasan berkenaan didapati tidak mempunyai capaian internet 4G dan penggunaan teknologi Very Small Aperture Terminal (VSAT) atau Satelit Bukaan Amat Kecil akan dilaksanakan yang dijangka siap pada hujung tahun ini.
Di Tampoi pula, MCMC berkata sebagai penyelesaian jangka pendek, usaha untuk memperbaiki pengoptimuman kekuatan isyarat akan dilakukan dan dijangka selesai dalam suku pertama 2021.
“Bagi penyelesaian jangka panjang pula, syarikat penyedia perkhidmatan di kawasan berkenaan akan menambah jalur spektrum 4G bagi meningkatkan capaian internet di kawasan aduan,” menurut SKMM.
Sementara itu di Kampung Sungai Chengkeh, pihak Celcom dan U Mobile telah melakukan kerja penambahbaikan pada pencawang pada 24 Feb bagi meningkatkan kualiti liputan 4G di kawasan yang dilaporkan dan dijangka siap pada minggu ketiga bulan ini.
Untuk penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara baharu akan dibina di bawah pelan Jendela dan kerja pembinaan menara akan bermula pada hujung tahun 2021, katanya.
“SKMM akan terus menjalankan pemantauan terhadap tindakan yang telah diambil dan sekiranya perlu, mengambil langkah susulan agar masalah capaian internet di seluruh negara dapat ditangani dengan menyeluruh sekali gus membolehkan internet dinikmati oleh semua rakyat,” katanya. – Bernama, 4 Mac, 2021.
Komen