TENTERA Nigeria menyelamatkan 26 petugas bantuan kemanusiaan yang diculik Boko Haram di timur laut negara itu, lapor media tempatan.
Kumpulan pengganas itu menyerbu bandar Dikwa di negeri Borno pada Isnin sekitar 6.30 petang, lapor Agensi Anadolu.
Berikutan serangan itu, tentera melancarkan operasi dan berjaya menyelamatkan 20 petugas lelaki dan enam wanita yang diculik kumpulan berkenaan. Kesemua mereka kemudian diserahkan kepada kerajaan Maiduguri, bandar terbesar di Borno.
Boko Haram melancarkan pemberontakan berdarah pada 2009 di timur laut Nigeria, kemudian melebarkan kegiatan mereka ke negara jiran, Niger, Chad, dan Cameroon yang mendorong tindak balas ketenteraan.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 30,000 orang telah terbunuh dan hampir tiga juta kehilangan tempat tinggal dalam tempoh sedekad keganasan Boko Haram di Nigeria.
Keganasan Boko Haram turut menjejaskan 26 juta penduduk di wilayah Lake Chad dan 2.6 juta yang lain hilang tempat tinggal. – Bernama, 4 Mac, 2021.
Komen