Realiti kehidupan M40


SEMALAM, hujan lebat di sekitar Petaling Jaya. Saya pulang lewat sedikit, kebetulan menunggu bos masuk semula ke pejabat kerana perlukan tandatangan beliau untuk dokumen. 

Buka sosial media, tular hujan air batu di Cheras. Saya menjangkakan keadaan jalan pulang ke rumah pasti sesak.

Saya keluar pejabat lebih kurang pukul 6.30 petang. Hujan sudah berhenti. Jika tiada kesesakan teruk, saya mungkin boleh sampai ke Setapak dalam masa 30 minit. 

Dalam perjalanan pulang, banyak benda menarik perhatian saya. Pertamanya, setiap hari, paling sedikit, saya pasti terserempak dengan tiga buah ambulans. 

Semalam juga berlaku sedikit banjir kilat di kawasan susur naik untuk ke Amcorp Mall, dari Petaling Jaya. 

Di kawasan itu memang selalu banjir dan saya juga selalu lupa untuk membangkitkan hal ini kepada rakan Ahli Majlis MBPJ di tempat saya bekerja. 

Memang di situ bukan kawasan mereka, tapi saya rasa tak salah jika meminta pertolongan mereka memanjangkan aduan, demi kesejahteraan penduduk Petaling Jaya dan pengguna lebuh raya Persekutuan.

Saya meneruskan perjalanan lagi sehingga ke Lebuhraya Sultan Abdul Halim. Di situlah satu kelibat menaiki motor menarik perhatian saya. 

Seorang lelaki lengkap dengan pakaian pejabat – baju kemeja, seluar slack, kasut pejabat, membawa beg sandang ‘Bungkus-It’ di belakang beliau. Saya tidak merasakan itu beg yang beliau guna untuk ke pejabat. 

Firasat saya kuat mengatakan saudara itu seusai kerja hakiki di pejabat, beliau kemudian melakukan kerja sambilan demi mendapatkan pendapatan yang lebih untuk menampung keperluan keluarga.

Perkara yang paling diakui ramai pada waktu kini ialah setiap rakyat mengalami kesempitan dek kerana penularan Covid-19 – tidak kira apa jua peringkat hidup mereka. 

Baik golongan B40 yang sememangnya sangat terkesan, kita juga tidak boleh menafikan golongan M40 juga menerima tempias yang sama. 

Golongan T20 juga mungkin ada sedikit terkesan, namun mereka ini mungkin masih mampu mengekalkan kehidupan mereka – mungkin tak semewah dulu, tapi masih mampu hidup dalam keadaan sukar ini.

Saya tidak mahu bercerita mengenai T20. Mereka bagaikan manusia hidup di kayangan. Saya juga tidak mahu menyentuh mengenai B40, kerana ramai yang mengambil berat akan keadaan mereka. 

Syukur, rakyat Malaysia memang sangat prihatin. Tapi mungkin kita terlepas pandang dengan golongan M40.

Pada pendapat peribadi saya, kebanyakan golongan M40 sangat terkesan dengan penularan pandemik ini. Ada yang kehilangan pekerjaan. Ada yang masih mampu mengekalkan pekerjaan tetapi mengalami pengurangan gaji. 

Ada yang masih menerima gaji bulanan, namun nilai gaji tersebut sudah mula susut. Ini adalah kerana harga barangan baik runcit mahupun barangan mentah di pasar sudah mula naik. 

Bukan itu sahaja, harga petrol juga semakin meningkat setiap minggu. Terkini harga petrol RON95 ialah RM2.05 seliter. 

Mungkin dahulu, sewaktu harga masih dalam lingkungan RM1.00 lebih satu minggu, kita hanya perlu mengisi petrol sebanyak sekali sahaja. Namun, tidak mustahil kini ada antara kita perlu mengisi sebanyak dua kali seminggu – dan salah seorangnya ialah saya sendiri.

Petrol memainkan peranan penting dalam perniagaan kerana ia adalah bahan utama untuk pengangkutan, tidak lupa juga diesel. 

Apabila harga petrol dan diesel mula meningkat maka kos pengeluaran dan pemasaran juga meningkat. Ini menyumbang kepada kenaikan harga bahan mentah dan barangan runcit yang lain.

Jika dahulu kita dapat beli ikan kembung sekilo RM7, kini harganya hampir mencecah RM15 sekilo. Itu baru ikan kembung, belum lagi sayur-sayuran. 

Benda yang pada dahulunya boleh diklasifikaskani sebagai makanan untuk golongan kurang berkemampuan kerana harganya yang murah, kini harganya meningkat berkali ganda.

Inilah yang saya maksudkan penyusutan nilai gaji. Jika dahulu belanja dapur seminggu mungkin RM100, kini tidak mustahil ia boleh mencecah ke RM200.

Saya agak terkilan dengan kerajaan kini yang sepertinya pekak dan tuli akan keadaan ini. Mungkin tak ramai menteri atau pegawai atasan kerajaan dan lantikan politik gred tinggi yang pergi ke pasar sendiri dan mengalami keadaan ini. 

Oleh sebab itu mereka tidak tahu keadaan sudah mula menekan, bukan sahaja kepada golongan B40, kini ia sudah mula menekan M40 juga. 

Saya rasa tidak salah kalau dipertimbangkan kriteria penerima bakul makanan JKM untuk memasukan sekali golongan M40 ini. Sedikit sebanyak ia mengurangkan beban mereka.

Golongan M40 ini sejak dahulu lagi agak terpinggir. Jika kita lihat pembentangan belanjawan setiap tahun, dari kerajaan terdahulu, bertukar kerajaan baru dengan mandat baru, dan kini bertukar pula dengan kerajaan baru yang tiada mandat, golongan M40 ini tetap terpinggir. 

Bagi saya, apa yang paling membantu mereka ialah pengecualian bayaran moratorium oleh bank-bank terhadap semua pinjaman. Ini secara tidak langsung dapat memberikan “wang poket” kepada mereka untuk meneruskan kehidupan. 

Maybank baru beberapa hari lepas mengumumkan keuntungan berbillion ringgit, walaupun pada waktu pandemik menular. Jadi bagi saya, jika diberikan moratorium untuk beberapa bulan, ia tidak menjadi kudis kepada bank sekalian.

Saya khuatir suatu masa nanti, golongan M40 akan menjadi golongan B40 dan ia bukanlah sesuatu yang baik untuk pertumbuhan ekonomi negara. 

Jadi, kerajaan, sudah-sudahlah dibuai mimpi. Khabarnya kerajaan sekarang adalah yang paling prihatin, maka jalankan tanggungjawab kepada rakyat.

Rakyat kini hidupnya sempit. Untuk mendapatkan kemudahan asas seperti khidmat perubatan juga kini sudah semakin susah. 

Perbualan antara saya dan sahabat beberapa hari lalu menyentuh mengenai betapa payahnya kita rakyat Malaysia untuk mendapatkan akses kepada rawatan perubatan kecemasan di hospital. 

Ini semua adalah kerana prosedur bagi membendung penularan Covid-19 di kalangan barisan hadapan kita. Prosedur itu bagus, tapi itulah… 

Kemudahan yang dulu kita nikmati sudah tidak ada. Kemudahan kini perlahan-lahan menjadi satu kesusahan. Itu baru satu sahaja keperluan asas sudah mula terjejas. 

Saya tidak terkejut jika rakyat kita baik B40 atau M40 satu hari nanti tidak mampu mempunyai rumah dan mula menjadi gelandangan.

Anak-anak tidak boleh lagi ke sekolah kerana ibu bapa tidak mampu untuk menyediakan perbelanjaan persekolahan mereka. Oh ya, apa khabar sarapan percuma untuk anak-anak kita ya? Saya harap ini dapat diteruskan. Paling tidak anak-anak ini mendapat makanan seimbang pada awal hari mereka selama 5 hari seminggu.

Kerajaan harus segera menjadi kerajaan yang efisien dan mempunyai political will yang tinggi untuk membantu rakyat. Sudah-sudahlahlah berdagang dan bertawar-tawaran harga diri dan harga undi rakyat. Kita kini sedang berperang dan rakyat menjadi mangsanya.

Saya simpati dengan semua yang terkesan - termasuk diri saya sendiri. Semoga kita semua tabah dan berjaya mengharungi kehidupan yang sukar ini. 

Untuk mereka yang kini terpaksa bekerja keras demi kesejahteraan keluarga, saya doakan yang terbaik buat kalian. Semoga ada sinar, selain i-Sinar untuk anda dan kita semua. – 4 Mac, 2021.     

* Noor Suhana Ishak, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen