AMERIKA Syarikat (AS) semalam menyelar Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana membuka siasatan berhubung jenayah perang di wilayah Palestin.
“Kami menentang dan kecewa dengan pengumuman pendakwa raya ICC berkenaan siasatan ke atas situasi di Palestin,” kata jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price kepada pemberita.
“Kami akan terus menyokong dan mempertahankan keselamatan Israel termasuk dengan membantah tindakan yang bertujuan untuk mensasarkan Israel secara tidak adil.”
Walau mendapat bantahan keras Israel dan AS, pendakwa raya ICC Fatou Bensouda mengumumkan akan meneruskan siasatan terhadap dakwaan jenayah perang yang berlaku di Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Pentadbiran bekas presiden AS Donald Trump pada September tahun lalu mengenakan sekatan ke atas Bensouda, selepas pendakwa raya itu memutuskan untuk menyiasat dakwaan perang dilakukan tentera AS di Afghanistan.
Presiden Joe Biden masih belum menarik balik sekatan tersebut. – AFP, 4 Mac, 2021.
Komen