SERANGAN udara di salah sebuah perkampungan terakhir yang masih dikuasai Kumpulan Islamic State (IS) di timur Syria telah membunuh 12 orang awam termasuk empat kanak-kanak, lapor pemantau hari ini.
Menurut Balai Cerap Syria bagi Hak Asasi Manusia, serangan yang dilakukan pada lewat semalam di perkampungan Susa di wilayah Deir Ezzor.
“Dua belas orang awam dari keluarga yang sama, termasuk empat kanak-kanak terbunuh,” ketua balai cerap Rami Abdel Rahman memberitahu AFP.
Organisasi pemantau berpangkalan di Britain itu yang memiliki rangkaian sumber yang luas di lapangan berkata, serangan mungkin dilakukan pakatan yang diketuai Amerika Syarikat, yang melancarkan serangan udara terhadap IS di Syria dan Iraq pada 2014.
Tiada maklum balas segera dari pakatan tersebut.
Kumpulan Islamic State hampir hilang kesemua wilayah yang pernah dikuasainya di Iraq dan Syria, dan kini bergantung kepada kampung-kampung kecil di kawasan sempadan.
Pakatan itu pada Khamis mengaku secara “tidak sengaja” membunuh sekurang-kurangnya 817 orang awam sejak ia memulakan serangan udara terhadap IS. – AFP, 1 Januari, 2018.
Komen