Tujuh pelajar universiti di Bolivia maut besi penghadang runtuh


Pelajar dan ahli keluarga menunggu maklumat mengenai insiden menyebabkan beberapa pelajar meninggal dunia di Universiti Awam di El Alto, Bolivia, pada Selasa. – Gambar EPA, 3 Mac, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA tujuh pelajar maut dan lima lagi cedera parah apabila terjatuh dari tingkat empat bangunan universiti di Bolivia selepas pagar besi runtuh pada Selasa, kata kerajaan.

Rakaman kejadian menunjukkan para pelajar bersesakan di laluan sempit ketika cuba memasuki dewan perhimpunan.

Rel besi dapat dilihat tidak mampu beban pelajar yang berpusu-pusu dan saling bertolakan, dengan beberapa orang di antara mereka jatuh ke lantai konkrit di Universiti El Alto dekat La Paz.

Beberapa yang lain berpaut kepada rakan pelajar untuk menyelamatkan diri.

“Kemalangan ini menyebabkan tujuh maut dan lima lagi berada dalam keadaan kritikal, ada di antaranya stabil dan berada di hospital bandar El Alto, berhampiran La Paz,” kata Menteri Kesihatan Jayson Auza.

Menteri Dalam Negeri Eduardo del Castillo sebelum itu melaporkan lima kematian dan tiga cedera dalam kejadian itu, tetapi jumlahnya dikemas kini semula oleh Kementerian Kesihatan.

Mereka yang cedera dan meninggal dunia berusia antara 20 hingga 24 tahun.

Del Castillo berkata sudah mengarahkan siasatan terhadap kemalangan itu. – AFP, 3 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen