Kualiti DidikTV perlu dipertingkat, kata bekas ketua TV Pendidikan


Raevathi Supramaniam

Guru yang terlibat dalam produksi program TV Pendidikan dihantar untuk latihan ke luar negara dengan BBC dan ke Perancis serta Jepun. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Mac, 2021.

SEBELUM kemunculan DidikTV, ramai yang lupa adanya TV Pendidikan, kata bekas ketua V.V. George ketika temubual dengan The Malaysian Insight.

“Ia bukan sesuatu yang baharu. Ketika DidikTV diumumkan, seolah-olah ia sesuatu yang baharu. Saya rasa mereka lupa TV Pendidikan sudah wujud selama lebih 30 tahun.”

Selepas kritikan baru-baru ini terhadap TV Pendidikan yang dilancarkan semula sebagai DidikTV bulan lalu, George yang berusia 82 tahun berkata pesara seperti dirinya bersedia memberikan input, jika diminta.

“Kami gembira ketika DidikTV diumumkan tetapi tidak gembira kerana ia seperti tergesa-gesa. Sayangnya episod yang disiarkan seolah-olah tidak mempunyai banyak persiapan atau latihan.

“Bagus kerana ia dimulakan, tetapi kualiti program harus ditingkatkan dan para guru perlu dilatih,” kata George.

TV Pendidikan dilancarkan pada Jun 1972 oleh Tun Abdul Razak, perdana menteri kedua Malaysia. 

Ini berfungsi untuk membantu guru dan pelajar di kawasan luar bandar yang kekurangan guru Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Saluran itu disiarkan dari 1972 hingga 2008 sebelum ditutup.

George yang bersara sebagai pengarah bahagian kurikulum pada 1993 memulakan kerjayanya sebagai pegawai pendidikan di Teluk Intan, Perak sebelum berakhir sebagai ketua TV Pendidikan.

“TV Pendidikan adalah projek bersama antara Kementerian Pendidikan dan  Radio Televisyen Malaysia (RTM). Kami menyediakan semua program dan mereka memberikan sokongan teknikal untuk mengendalikan studio,” katanya.

“TV Pendidikan, Radio Pendidikan, sumber perpustakaan sekolah dan kejuruteraan semuanya diletakkan di bawah Perkhidmatan Media Pendidikan (PMP), sekarang diganti namanya sebagai Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan.”

V.V. George memuji kemunculan DidikTV tetapi kualiti program harus ditingkatkan dan para guru perlu diberi latihan. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Mac, 2021.

Sebelum menerima jawatan dalam TV Pendidikan, George dihantar ke Australia untuk latihan dalam produksi televisyen pendidikan. 

Guru yang terlibat dalam produksi program juga dihantar untuk latihan ke luar negara dengan British Broadcasting Corporation (BBC), dan ke Perancis serta Jepun.

RTM juga berperanan besar dalam melatih guru, memberi mereka akses kepada Institut Pembangunan Penyiaran Asia (AIBV) dan Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR).

“Banyak kerja dilakukan untuk menghasilkan satu episod 20 minit,” kata George, yang bersama TV Pendidikan sejak 1971 hingga bersara.

Beliau mengimbas semula proses ketat di TV Pendidikan bagi produksinya.

“Ia bermula dengan membawa mereka yang dikenali sebagai pakar mata pelajaran yang merupakan guru berpengalaman dalam mata pelajaran tertentu. Mereka akan meneliti sukatan pelajaran dan mengenal pastinya mata pelajaran yang sukar diajar oleh guru dan untuk pelajar memahami.

“Selepas itu, pakar skrip atau guru berpengalaman dalam topik tertentu akan dipanggil untuk menulis skrip.

“Mereka bersama-sama akan menyiapkan skrip sebelum diserahkan kepada produser yang kemudian akan menyesuaikannya untuk televisyen dengan visual serta grafik diperlukan.

“Kami kemudian akan memanggil penyampai, biasanya seorang guru untuk berlatih skrip dan membentangkannya. Apabila semua sudah bersedia, barulah kami akan merakamnya.”

Prosesnya tidak berakhir di situ. George berkata rakaman itu kemudian dihantar kepada panel guru yang akan menyemak dan memeriksa jika terdapat sebarang kesilapan. 
Hanya selepas langkah terakhir ini, rakaman akan dihantar ke RTM untuk disiarkan dalam slot yang disediakan. – 3 Mac, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen