MAHKAMAH India hari ini mengarahkan kubur bayi yang dilahirkan seorang mangsa rogol remaja digali semula supaya ujian paterniti dapat dijalankan, menurut polis.
Perintah itu dikeluarkan selepas ibu remaja terbabit menarik semula tuduhan merogol terhadap seorang ahli peniagaan Delhi.
Menurut polis, remaja berusia antara 14 dan 15 tahun itu pada mulanya menuduh dirogol berulangkali oleh lelaki tersebut ketika dia melawat ibu kota Delhi pada Februari lepas.
Dia melahirkan seorang bayi perempuan pada Oktober, namun bayi itu meninggal dunia beberapa hari kemudian.
Polis telah menahan suspek pada Julai dan mendakwanya atas tuduhan merogol gadis bawah umur.
Tindakan menarik balik dakwaan merogol bukanlah sesuatu yang baru di India kerana ia selalunya disebabkan tekanan dari rakan atau keluarga defendan, atau sebagai balasan bantuan kewangan.
“Mahkamah telah mengeluarkan arahan tetapi kami belum mendapat salinan,” kata seorang pegawai penyiasat yang mahu namanya dirahsiakan.
“Kami akan gali mengikut seperti yang diarahkan untuk menjalankan ujian DNA.”
India mempunyai rekod serangan seksual terhadap gadia bawah umur yang teruk dengan lebih 36,000 kes rogol atau serangan seksual dilaporkan pada 2016 menurut data kerajaan.
Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-kanak pada 2014 berkata satu daripada tiga mangsa rogol di India adalah di bawah umur.
Pada November, sebuah mahkamah di utara India menjatuhkan hukuman terhadap dua lelaki kerana merogol anak saudara perempuan mereka yang berusia 10 tahun.
Kanak-kanak itu mengandung dan ujian DNA dari bayinya digunakan untuk menghukum salah seorang bapa saudaranya. – AFP, 1 Januari, 2018.
Komen