Masukkan GP, doktor gigi dalam kategori satu penerima vaksin, kata MMA


Elill Easwaran

MMA mendesak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 mengkaji semula senarai kategori bagi petugas barisan hadapan. – Gambar EPA, 2 Mac 2021.

PENGAMAL perubatan am (GP) dan doktor pakar sepatutnya tersenarai dalam kategori satu bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 1 bersama petugas barisan hadapan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Begitu juga doktor gigi dan kakitangan mereka, menurut Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy, mengulas garis panduan dan kategori penerima vaksin Covid-19 bagi Fasa 1.

“GP ketika ini menjalankan ujian saringan skala besar, yang mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan.

“Doktor gigi dan kakitangan mereka juga berisiko terhadap jangkitan kerana pesakit perlu membuka pelitup muka semasa diperiksa dan dirawat,” kata Subramaniam dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, menempatkan golongan ini dalam kategori dua menampakkan seolah-olah mereka tidak diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan, malah akan melambatkan usaha membendung pandemik, tambahnya.

“Sejumlah GP dan kakitangan mereka mendapat jangkitan Covid-19 melalui pesakit.

“Sehingga beberapa klinik terpaksa ditutup selama 14 hari kerana GP dan kakitangan perlu menjalani kuarantin,” katanya.

Mengikut garis panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, GP, doktor gigi dan pakar hospital swasta tersenarai dalam kategori dua bersama anggota keselamatan, anggota pertahanan, kakitangan perkhidmatan penting serta guru sekolah rendah dan menengah.

Manakala kategori satu terdiri daripada petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, hospital pembelajaran dan hospital swasta.

Subramaniam mendesak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 mengkaji semula senarai kategori bagi barisan hadapan dan memasukkan semua petugas kesihatan yang secara langsung terdedah kepada jangkitan ke dalam kategori satu.

Garis panduan berkenaan dikeluarkan semalam dan dimuat naik di www.vaksincovid.gov.my. – 2 Mac, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen