Dua maut dalam tunjuk perasaan di Iran 


DUA penunjuk perasaan ditembak mati malam semalam ketika mengadakan tunjuk perasaan di bandar Izeh, barat daya Iran kata ahli parlimen kepada media Iran pada Isnin.

“Rakyat di Izeh seperti bandar lain, mengadakan tunjuk perasaan berikutan masalah ekonomi dan malangnya ia membawa kepada pembunuhan dua orang dan kecederaan kepada beberapa yang lain,” kata ahli parlimen kawasan itu, Hedayatollah Khademi kepada agensi berita ILNA. 

“Saya masih tidak tahu sama ada insiden tembakan malam tadi dilepaskan oleh penunjuk perasaan atau pihak polis,” tambahnya. 

Tunjuk perasaan tercetus di beberapa bandar dan pekan berikutan demonstrasi terhadap masalah ekonomi di negara itu. 

Khademi berkata di Izeh, yang merupakan sebuah pekan yang mempunyai kira-kira 200,000 penduduk, tingkap bank dipecahkan dan protes berterusan sehingga tengah malam. 

“Itu sebabnya pihak polis terpaksa campur tangan bagi mengekalkan keamanan,” katanya kepada ILNA. 

“Gabenor berkata, tembakan itu mungkin bukan daripada pihak polis kerana mereka diarahkan untuk tidak melepaskan sebarang tembakan,” katanya pada temubual berasingan dengan akhbar reformis Etamad. 

Kematian itu susulan daripada laporan berita bahawa dua orang maut di barat bandar Dorud selepas mereka dirempuh jentera bomba yang dicuri oleh penunjuk perasaan. 

Sehingga kini, enam nyawa dilaporkan terkorban sejak protes itu tercetus di seluruh negara berkenaan ekoran krisis ekonomi yang memuncak. – AFP, 1 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen