Penganalisis gesa perbaiki sistem pilihan raya untuk lindungi pengundi 


Alfian Z.M. Tahir

Kerajaan PN dibentuk selepas Bersatu meninggalkan PH mencetuskan kemarahan di kalangan pengundi yang menyokongnya di dalam PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2021.

SISTEM pilihan raya negara perlu diperbaiki agar ia dapat melindungi hak pengundi, terutama berkaitan pembelotan dilakukan wakil rakyat, kata pakar.

Mereka berkata perkara ini lebih penting berbanding meluluskan undang-undang yang melarang lompat parti.

Ia merujuk kepada kes pembelotan baru-baru ini yang melibatkan dua ahli Parlimen PKR menyertai Perikatan Nasional (PN) dan tiga Adun Amanah beralih kepada PKR.

Pengarah Program Penyelidikan Iman, Badrul Hisham Ismail memberitahu The Malaysian Insight larangan wakil rakyat beralih ke parti lain bertentangan dengan kebebasan berkesatuan.

“Tiada siapa mahu melihat ahli sendiri lompat parti dan menyertai kumpulan lain. Mereka hanya akan gembira jika orang lain menyertai mereka dan bukannya pergi.

“Tetapi ini adalah hak hak demokratik wakil rakyat untuk memilih parti mana pun yang mereka rasa selesa,” katanya.

Beliau mengakui pembelotan itu mungkin bertentangan dengan kehendak pengundi yang memilih mereka.

“Ya, ia bertentangan dengan kehendak pengundi. Contohnya, jika saya memilih PKR, saya tidak mahu ahli Parlimen saya mengundurkan diri dan bergabung dengan parti lain.

“Jadi kita perlu memperbaiki sistem pilihan raya kita. Di Malaysia, kita tidak memilih individu, kita memilih parti,” kata Badrul Hisham.

Beliau menambah satu daripada alternatif adalah memperkenalkan sistem perwakilan berkadar (proportional representation) bagi menggantikan sistem “first-past-the-post” (FPTP).

FPTP adalah sistem pilihan raya yang menyaksikan pengundi mengundi calon pilihan mereka, dan calon yang mendapat suara terbanyak menang (tanpa mengira bahagian undi).

Bagi perwakilan berkadar, ia adalah sistem di mana parti memperoleh kerusi sesuai dengan jumlah undi yang diperolehi.

Beliau berkata sebagai pengundi di Malaysia memilih parti pilihan mereka, perwakilan yang dipilih kemudian perlu mengosongkan kerusi dan memulangkannya kepada parti jika belot.

“Kita tidak mengundi individu. Oleh itu, seorang wakil rakyat mesti memulangkan kerusi jika memilih untuk meninggalkan parti,” jelasnya.

Ahad lalu, Ahli Parlimen Julau Larry Sng (kiri) dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong (kanan) memutuskan untuk menjadi wakil bebas yang mesra kerajaan, memberikan Muhyiddin Yassin majoriti sederhana di Parlimen. – Gambar Facebook, 3 Mac 2021.

Pada Ahad, Ahli Parlimen Julau daripada PKR Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong memutuskan untuk menjadi wakil bebas yang mesra kerajaan, memberikan Muhyiddin Yassin majoriti sederhana di Parlimen.

Sehari sebelumnya, tiga Adun Amanah di Johor bergabung dengan PKR.

Sambil mengecam Sng dan Choong kerana menjadi wakil rakyat yang mesra kerajaan, PKR memilih untuk memuji tiga bekas ahli Amanah yang bergabung dengan parti itu, dengan berkata itu adalah hak demokratik mereka.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh mengecam mereka yang melompat parti dan meminta agar tindakan itu diharamkan.

Mengenai hal ini, Badrul Hisham berkata gesaan Ramkarpal bertentangan dengan kebebasan berkesatuan yang dijamin Perlembagaan.

“Ia tidak boleh diharamkan. Ini bertentangan dengan kebebasan berkesatuan. Jika seseorang tidak lagi gembira dalam organisasi, beliau mesti dibenarkan keluar, semudah itu.

“Apa yang perlu diperbaiki adalah sistem agar hak pengundi dapat dilindungi,” katanya.

Sementara itu, Prof Universiti Awang Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, mereka yang melompat parti mesti dikecam oleh semua pihak.

“Mereka tidak boleh memuji pihak yang menyertai mereka dan kemudian mengutuk mereka yang meninggalkan parti. Mereka mesti konsisten.

“Ini bukan masalah baharu. Sudah lama berlanjutan tetapi tiada yang punyai kemahuan politik untuk berbuat apa-apa.

“Mungkin mereka tahu suatu hari mereka memerlukan pembelot untuk melompat parti,” katanya. – 3 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen