Kesatuan harap pengerusi baharu KTMB tiada kepentingan diri


Noel Achariam

RUM juga mahu pengerusi baharu KTMB memastikan kebajikan pekerja dijaga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 Mac, 2021.

TIADA masalah jika Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) diuruskan oleh ahli politik, selagi ia bukan untuk kepentingan peribadi, kata kesatuan pekerja syarikat itu.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM) Abdul Razak Md Hassan berkata apa yang paling penting ialah penambahbaikan syarikat di bawah pengerusi baharu.

“(Jawatan) tidak boleh untuk kepentingan peribadi, mesti bawa keuntungan kepada KTMB, rakyat dan negara,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Razak mengulas khabar angin bahawa bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu akan dilantik  sebagai pengerusi baharu KTMB.

Ahmad Faizal dijangka akan memulakan tugas bulan depan, menggantikan Rameli Musa yang kontraknya tamat hujung Februari.

Menurut Razak, kesatuan mahu pengerusi baharu beri perhatian kepada perkhidmatan kargo, yang menjadi sumber pendapatan utama KTMB.

“Fokus utama ialah menambah bilangan kereta api. Ini satu-satunya cara untuk menambah baik perkhidmatan KTMB dan atasi kerugian.

“Usaha ini tidak akan berjaya kalau tidak ada komitmen dari pengerusi baharu,” kata Razak.

Tambah beliau, RUM juga mahu pengerusi baharu memastikan kebajikan pekerja dijaga.

Katanya, KTMB alami kerugian kira-kira RM12 juta sebulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dikuatkuasakan pada Mac lalu.

Minggu lalu, Ahmad Faizal, yang juga timbalan presiden Bersatu, berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan pelantikannya sebagai pengerusi KTMB.

Ahmad Faizal dipetik Bernama berkata beliau secara peribadi ingin lebih fokus dalam menjalankan kerja-kerja berkaitan politik terutamanya parti Bersatu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya mendapat laporan nama saya akan dicadangkan tetapi masih belum dibincangkan dengan perdana menteri…bagaimanapun sekiranya perkara ini diminta oleh perdana menteri sebagai satu perkara perlu saya lakukan demi rakyat, saya akan terima namun saya berharap dapat fokus dalam kerja-kerja politik,” katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, Ahmad Faizal meletak jawatan menteri besar Perak selepas gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan di Dewan Undangan Negeri.

Adun Chenderiang itu hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali terhadap usul itu yang dibawa oleh Adun Pengkalan Baru Abd Manap Hashim. – 2 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen