KTMB bakal rugi RM100 juta tanpa kereta api kargo baharu, kata kesatuan


Noel Achariam

KTMB perlu menangani masalah kekurangan kereta api kargo, kata kata setiausaha agung RUM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 Mac, 2021.

KERETAPI Tanah Melayu Bhd (KTMB) bakal rugi lebih RM100 juta tahun ini jika gagal menangani masalah kekurangan kereta api kargo, kata kesatuan pekerja syarikat tersebut.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM) R. Subramaniam berkata pendapatan syarikat merosot sebanyak 90% semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama dilaksanakan Mac tahun lalu, dan masih mencatat kerugian walaupun perintah itu mula dilonggarkan pada Oktober.

“Apabila PKP dikenakan semula, kerugian kami mencecah sehingga 90%. Ini kerana perkhidmatan kereta api kargo dan jumlah penumpang berkurangan akibat sekatan pergerakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

KMTB buat masa ini hanya menjana RM11 juta sebulan melalui pengangkutan kargo, dan sukar untuk syarikat membayar gaji pekerja dan kos operasi dengan jumlah itu,  tambah Subramaniam.

“KTMB perlu membelanjakan RM25.3 juta sebulan untuk bayar gaji 6,000 pekerja.

“Kami hanya menjana pendapatan RM11 juta sebulan. Kami dapat bayar gaji pekerja pun kerana mendapat dana dari Kementerian Kewangan,” jelasnya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, KTMB mencatat kerugian RM2.83 bilion setakat Disember 2018.

Laporan audit mendapati dua aktiviti utama iaitu tren antara bandar dan komuter merekodkan kerugian antara RM39.82 juta hingga RM77.76 juta bagi tempoh tahun 2016 hingga Julai 2018.

Ketika ini, KTMB mempunyai 28 kereta api kargo, 12 unit Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan 18 unit Komuter Enam Koc (SCS).

Setiausaha Agung RUM R. Subramaniam. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Mac, 2021.

Subramaniam berkata jumlah penumpang susut sebanyak 60% dalam tempoh enam bulan lalu, dan terus turun kepada 90% selepas PKP dilaksana semula.

“Jumlah penumpang merosot kerana sekatan rentas negeri.”

Beliau juga berkata landasan berkembar dari Johor ke Padang Besar hanya digunakan sebanyak 30% kerana kurang perkhidmatan pengangkutan kargo.

“Kereta api kargo boleh menjana pendapatan RM11 juta sebulan. Pendapatan akan bertambah kalau jumlah kereta api ditambah.

“Kami minta tambah kereta api sejak 2017 lagi, tetapi masih belum dapat sampai sekarang,” katanya.

Subramaniam berharap Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pengarah KTMB pertimbang cadangan RUM supaya menambah bilangan kereta api, terutamanya bagi perkhidmatan kargo.

Katanya, RUM juga mencadangkan KTMB menyewa kereta api dari negara lain, selain memohon pinjaman bank.

“Kita perlu bersiap sedia kerana tiada siapa tahu bila pandemik Covid-19 akan berakhir.”  – 2 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen