Garis panduan hukuman baharu akan lindungi pelajar, guru


Ikhwan Zulkaflee

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan menafikan bahawa bentuk hukuman kepada murid sedia ada kurang tegas. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Januari, 2018.

TIMBALAN Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata, kementeriannya sedang mempertimbang untuk menambah aspek baharu dalam garis panduan mendisiplinkan pelajar untuk melindungi guru dan murid terbabit.

Katanya, cadangan penambahbaikan ke atas garis panduan itu kini memasuki fasa akhir dan mungkin akan diperkenal tidak lama lagi.

“Kita mahu kedua-duanya dilindungi. Kita ada 430,000 guru dalam negara dan semua guru yang bertugas untuk negara dan anak-anak kita ini hanya ada satu niat iaitu berikan yang terbaik kepada pelajar mereka. 

“Kita memang hendak membantu cikgu tapi pada masa sama kita hendak bantu anak murid dapat pendidikan terbaik,” katanya lagi dalam satu sidang media di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gelang Patah hari ini. 

Mengulas lanjut, Kamalanathan turut menafikan dakwaan bahawa bentuk hukuman yang dibenarkan untuk dijalankan ke atas pelajar pada masa kini kurang tegas. 

“Tegas ini berbeza ikut setiap orang. Apa tegas bagi saya tak semestinya tegas bagi orang lain. Pendidikan ini bukan semata-mata menggenai hukuman.

“Ia berkenaan membetulkan dan memberitahu anak-anak ini apa yang betul dan yanh salah. Cikgu mesti diberi sedikit kebebasan untuk menyampaikan kepada anak murid mereka apa yang betul dan salah,” katanya.

Menurutnya lagi guru perlu membuat pertimbangan ketika menjalankan hukuman disiplin dengan menganggap murid tersebut sebagai anak sendiri.

“Tetapi pada masa sama walau apa pun kebebasan kita bagi harus ambil maklum yang pelajar itu juga macam anak kita sendiri. Adakah kita akan ambil hukuman sama (berat) kepada anak kita sendiri? 

“Bila seseorang guru ambil tindakan mereka mesti anggap yang pelajar ini ialah anak mereka,” jelasnya. 

Beliau mengulas rayuan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada Rabu lalu agar satu pekeliling baharu dikeluarkan untuk memberi panduan kepada guru dalam mengambil tindakan terhadap pelajar di sekolah.

Rayuan itu dibuat susulan kes dihadapi seorang guru di Negeri Sembilan bulan lalu yang diheret ke mahkamah kerana cuba mendisiplinkan anak muridnya.

Kesatuan guru itu berpendapat, para guru memerlukan garis panduan baru untuk memberi hukuman pelajar, selari dengan peredaran semasa.

Para guru juga pada masa ini dilaporkan kebingungan kerana tidak dapat mendisiplinkan murid yang bermasalah kerana bentuk kesalahan terbabit tidak dinyatakan dalam garis panduan guru.

Azizan Manap atau Cikgu Azizan bulan lalu yang diheret ke mahkamah kerana cuba mendisiplinkan anak muridnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2018.

Kamalanathan menjelaskan, kementerian sememangnya sedang menimbang untuk menyertakan hukuman meliputi bentuk kesalahan baru seperti buli siber.

“Garis panduan itu sudah ada cuma soalnya sama ada ia harus diperkasakan atau tidak. Sebagai contoh, ia tidak menyentuh tentang kesalahan buli siber, mungkin itu kita boleh tambah ikut keadaan semasa.

“Kita akan ikut segala prosedur sedia ada (dalam menggubal hukuman). Perkara ini penting kerana ia melibatkan pelajar kita,” katanya lagi. 

Jelasnya, kes buli siber merupakan isu baharu yang dihadapi masyarakat kini, dan kementerian tidak mahu ia mengganggu perkembangan pelajar. 

Lebih-lebih lagi memandangkan pelajar sekolah menggunakan peralatan teknologi baru dengan akses Internet di sekolah, katanya.

“Kerajaan telah perkenalkan kelas pintar di sekolah yang dilengkapi teknologi, kita tak mahu pelajar tertekan dengan situasi sedemikian,” tambah Kalamanathan. 

Sementara itu, Kamalanathan berkata kementeriannya menjangka isu kekurangan guru dalam negara akan dapat diselesaikan Mac ini. 

“Kita sedar perkara ini dan ia akan diselesaikan menjelang Mac. Kita akan tempatkan guru-guru isi kekosongan ini,” katanya. 

Sehingga kini, terdapat terdapat kekurangan sehingga 403 cikgu untuk sekolah rendah dan 334 kekurangan cikgu untuk mengajar di sekolah menengah. 

Kamalanathan hari ini melawat tiga buah sekolah kerajaan di Gelang Patah, Johor untuk meninjau persiapan menghadapi sesi persekolahan bagi 2018. – 1 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen