Johor harap rundingan buka sempadan disambung semula


Singapura menggantung pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik dengan Malaysia selama tiga bulan bermula 1 Februari, susulan peningkatan mendadak kes Covid-19. – Gambar EPA, 1 Mac, 2021.

JOHOR mengharapkan rundingan berkaitan aturan perjalanan di antara Malaysia dan Singapura termasuk membuka semula sempadan di antara kedua-dua negara akan bersambung semula susulan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Pembukaan semula sempadan, gelembung perjalanan hijau serta aturan lain perlu dipertimbang semula sebaik sahaja program vaksinasi ini selesai,” kata Menteri Besar Hasni Mohammad.

Beliau berkata ini kerana mereka yang telah menerima vaksin itu akan diberi sijil sebagai bukti mereka telah divaksinasi.

Hasni berkata demikian kepada pemberita selepas menerima vaksin Covid-19 di Dewan Muafakat Johor Taman Adda, di Johor Baru hari ini.

Pada 30 Januari lalu, kerajaan Singapura menggantung pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dengan Malaysia selama tiga bulan bermula 1 Februari, susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Hari ini, Hasni mendahului senarai penerima vaksin di Johor. Beliau akan disusuli oleh 35,100 anggota barisan hadapan di negeri ini yang terpilih menerima vaksin Covid-19 di bawah fasa pertama program imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – Bernama, 1 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen