Pendaftaran vaksin Covid-19 masih rendah, kata Khairy


Hailey Chung Wee Kye

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19, Khairy Jamaluddin berkata sehingga jam 11 pagi seramai 1,468,137 orang telah mendaftar melalui MySejahtera untuk menerima vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2021.

JUMLAH pendaftaran vaksinasi Covid-19 jauh dari sasaran yang diharapkan dan kerajaan perlu meningkatkan usaha berkenaan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19, Khairy Jamaluddin.

Menteri sains, teknologi dan inovas berkata salah satu sebabnya kerana saluran pendaftaran belum dapat diakses. Malah ramai juga mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Sehingga jam 11 pagi, seramai 1,468,137 orang telah mendaftar melalui MySejahtera untuk menerima vaksin dan dari segi peratusan penduduk, ia hanya melibatkan 6.1%.

“Jadi ini adalah tahap pendaftaran yang agak rendah dan kami perlu meningkatkan usaha agar lebih ramai yang mendaftar,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kerajaan menyasarkan 266 juta rakyat Malaysia atau 80% penduduk untuk mengambil suntikan vaksin bagi mengekang penyebaran Covid-19 di negara ini.

“Saya percaya jumlah yang mendaftar meningkat selepas Mei apabila kita membuka hotline dan apabila semua hospital serta klinik kesihatan kerajaan sudah membuka kaunter pendaftaran.

“Kedua, ini  adalah sikap tunggu dan lihat oleh orang ramai. Kami menjangkakan perkara ini tetapi saya yakin, apabila lebih ramai terutama petugs barisan hadapan menerima vaksin mereka, orang ramai akan lebih yakin dan mula mendaftar,” katanya.

Sehingga jam 11 pagi, jumlah individu yang sudah diberi vaksin adalah 17,064.

“Dari lima daerah teratas dengan pelaksanaan vaksinasi tertinggi adalah daerah Kuching yang memberikan 1,677 dos, diikuti oleh Sibu 1,360, Kinta 1,141, Kuantan 1,075 dan terakhir Mukah 822.

“Tiga negeri yang menerima vaksinasi terbanyak adalah Sarawak dengan 7,402, negeri kedua adalah Pahang sebanyak 2,419 dan Perak dengan 1,233,” katanya.

Khairy berkata pasukan petugas akan terus memantau statistik dari semasa ke semasa. – 1 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen