Keputusan mengenai PKP diumum esok, kata Azmin


Ravin Palanisamy

Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali berkata mesyuarat MKN akan diadakan hari ini dan keputusan mengenai lanjutan PKP atau sebaliknya diumumkan esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Mac, 2021.

KEPUTUSAN melanjutkan atau menamatkan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dibincangkan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Nasional (MKN) hari ini dan hasilnya akan diumumkan esok, kata Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali.

“Ismail Sabri (menteri kanan) akan mengumumkan keputusannya besok,” kata Azmin kepada wartawan hari ini selepas menghadiri ucapan khas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sempena memperingati ulang tahun pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata setiap keputusan yang dibuat perlu disokong oleh data dan sains.

“Biasanya, kita akan bertemu sebelum berakhirnya PKP… dan mengadakan mesyuarat pada pukul 2.30 petang hari ini.

“Saya yakin Kementerian Kesihatan yang diketuai Ketua Pengarah (Dr Noor Hisham Abdullah) akan menyampaikan penilaian risiko kepada jawatankuasa dan kami akan membincangkan perkara itu.

“Keputusan kami berdasarkan pengalaman selama satu tahun terakhir dan sudah mengumpulkan semua data dan statistik sejak setahun lalu.

“Jadi, jika kita perlu melanjutkan PKP atau memutuskan sebaliknya, maka kita perlu melakukan  berdasarkan data dan sains,” katanya.

PKP sekarang adalah yang kedua selepas pusingan pertama sejak pertengahan Mac hingga Mei tahun lalu.

Ia pada awalnya dikenakan dari 14 hingga 26 Januari tetapi dilanjutkan sehingga 4 Februari kerana jangkitan harian Covid-19 meningkat kepada 3,000 dan 4,000, mencecah lebih 5,000 pada akhir Januari.

Ia dilanjutkan lagi sehingga 18 Februari di semua negeri kecuali Sarawak.

Pada 19 Februari, Putrajaya memutuskan melanjutkan PKP sekali lagi tetapi hanya di Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sehingga 4 Mac.

Azmin juga berkata PN menjadikerajaan yang sangat telus dan bertanggungjawab, berkongsi semua maklumat dengan rakyat.

Beliau berkata mereka tidak pernah menyimpan atau menyembunyikan data daripada orang ramai, memastikan ketelusan mereka.

“(Hampir) setiap hari Ismail Sabri dan Noor Hisham muncul di televisyen untuk berkongsi semua data dengan orang ramai.

“Kami tidak pernah menyembunyi atau menyimpan data ini daripada orang ramai kerana sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, perkongsian data sangat penting ditambah dengan penyelesaian yang efektif,” kata Azmin. – 1 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen