Jangan batalkan program sarapan percuma


HARI ini seperti semua sedia maklum, sekolah dibuka semula untuk murid prasekolah, Tahun 1 dan 2.

Minggu hadapan murid Tahun 3 hingga 6 juga akan memulakan persekolahan. Murid sekolah menengah pula akan memulakan sesi bermula 4 April 2021.

Oleh demikian saya ingin menggesa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar meneruskan pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk semua 4.79 juta murid di seluruh negara.

PSP dimulakan secara rintis di beberapa buah sekolah melibatkan 6,303 murid pada 27 Ogos sehingga 22 November 2019 iaitu sebanyak 64 hari persekolahan.

Hasil projek rintis ini yang telah lengkap direkodkan sepatutnya boleh menjadi asas pelaksanaan PSP dengan lebih meluas di seluruh negara.

Saranan ini saya utarakan kerana ia terbukti akan membantu tiga golongan sasar yang mendapat manfaat secara langsung melalui program ini iaitu murid, ibu bapa dan juga pengusaha kantin.

Menurut kajian, hampir 70% murid tidak mengambil sarapan pagi pada hari persekolahan.

Selain itu, Laporan Kanak-kanak Pinggiran oleh Unicef DM Analytics (Februari 2018), Laporan Memahami Pemakanan Sekolah di Malaysia oleh Khazanah Research Institute (KRI) (Februari 2020), Laporan Keluarga di Pinggiran Isu 1, Kesan Langsung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Unicef & UNFPA (Ogos 2020), Laporan Analisis Situasi Wanita dan Kanak-kanak di Malaysia 2020 oleh Unicef (September 2020) dan Laporan Keluarga di Pinggiran Isu 2, Bagaimana Mereka Selepas PKP oleh Unicef dan UNFPA (Oktober 2020) semuanya mendedahkan dapatan yang sama iaitu wujudnya isu bantut dan malnutrisi yang serius di kalangan murid sekolah rendah di negara ini. 

PSP akan menjadi sebuah program intervensi untuk memastikan semua murid mendapat sarapan berkhasiat sepanjang tahun tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka.

Pada masa sama PSP juga akan membantu lebih dari 2.4 juta keluarga miskin di seluruh negara.

Sebahagiannya adalah warga M40 yang hari ini jatuh menjadi warga B40 akibat pandemik ini.

Bahkan menurut profesor ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai, program PSP ini akan memberi penjimatan sebanyak RM2.3 bilion kepada ibu bapa di seluruh negara.

Ramai ibu bapa yang hari ini tertekan akibat perlu memberi wang saku kepada anak mereka yang perlu bersekolah akan mendapat lebihan wang untuk dibelanjakan ketika pandemik Covid-19 ini masih belum reda.

Selain itu, program PSP ini juga akan memberi kelegaan kepada lebih dari 70,000 pekerja kantin di seluruh negara yang selama ini terkesan akibat penutupan sekolah.

Ini penting kerana mereka ini kebanyakannya hanya bergantung kepada penjualan makanan kepada murid sekolah sebagai punca pendapatan utama. 

Strategi tiga serampang melalui program PSP ini adalah jawapan untuk melegakan kesengsaraan rakyat akibat pandemik Covid-19 yang melanda hari ini.

Bukan sahaja semua murid di sekolah tanpa mengira latar belakang akan dapat memulakan sesi persekolahan mereka dengan sarapan berkhasiat, ibu bapa dapat menjimatkan wang saku dan menstabilkan ekonomi keluarga bahkan pengusaha kantin dapat merancakkan semula aktiviti ekonomi setempat berdasarkan pembelian barang makanan basah daripada pengedar tempatan untuk menyediakan sarapan tersebut.

Kerajaan juga boleh memanfaatkan belanjawan yang telah diperuntukkan kepada program Rancangan Makanan Tambahan yang tidak dibelanja ekoran sekolah tidak dibuka sejak Mac 2020. 

Anggaran belanjawan yang tidak digunakan ialah RM300 juta. Jumlah ini boleh digunakan untuk PSP dan memanfaatkan sekurang-kurangnya 500 ribu murid yang memerlukan sebagai permulaan.

Pelaksanaan Program Sarapan Percuma ini hakikatnya merupakan jalan keluar yang melegakan ketika rakyat hidup dalam kesengsaraan yang pelbagai dan sekali gus boleh merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing. 

Saya amat berharap saranan ini dipertimbang sewajarnya demi kemaslahatan sejagat dan rakyat terbanyak. – 1 Mac, 2021.

* Dr Maszlee Malik, ahli Parlimen Simpang Renggam dan bekas menteri pendidikan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen