Denda jika potong giliran terima vaksin, kata Khairy


Hailey Chung Wee Kye

KERAJAAN tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang tidak mengikut giliran menerima suntikan vaksin Covid-19 dan akan menghukum pesalah ini jika diperlukan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri yang bertanggungjawab untuk program vaksinasi nasional itu berkata bahawa beliau sudah membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Sekiranya perlu, kami akan menggubal Ordinan Darurat untuk mendenda mereka yang memotong barisan,” katanya dalam forum Sembang Vaksin Bersama YB Khairy Jamaluddin anjuran MedTweetMY malam tadi.

“Saya bersedia berbuat demikian. Saya akan mencadangkan kepada menteri kesihatan kerana hanya menteri dapat mengeluarkan kompaun dalam bidang tertentu,” tambah menteri sains, teknologi dan inovasi berkenaan. 

Menurutnya beliau fokus pada pada keadilan pengedaran vaksin dan ekuiti vaksin sejak awal.

“Isu ini penting bagi saya kerana dari perspektif antarabangsa, ekuiti vaksin tidak dipraktikkan oleh negara maju yang memonopoli, hingga negara-negara miskin tidak memiliki akses ke vaksin Covid-19,” katanya.

Isu memotong barisan untuk pengambilan vaksin hangat diperkatakan di media sosial apabila ada dakwaan beberapa ahli politik dan ahli keluarga memotong giliran petugas barisan hadapan yang sepatutnya penerima awal vaksin.

Seorang doktor kesihatan awam Rafidah Abdullah menggunakan Twitter untuk menyuarakan isu pilih kasih yang dibuat oleh Adun ini dengan menggelar mereka sebagai exco kerajaan dan “kuncu-kuncu”.

Rafidah, salah seorang moderator dalam forum malam tadi merujuk masalah berkenaan kepada Khairy dan bagaimana kerajaan merancang mengatasinya. 

Khairy memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berlaku. – 1 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen