Kad laporan setahun Perikatan: Kontroversi


Raevathi Supramaniam

Untuk kekal berkuasa, Muhyiddin Yassin membentuk Kabinet besar, terdiri daripada 70 menteri dan timbalan menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2021.

DALAM tempoh setahun sejak menggulingkan Pakatan Harapan (PH) dari Putrajaya, Perikatan Nasional (PN) mencetuskan banyak kontroversi sebagai kerajaan yang dibentuk oleh bekas musuh bertukar kawan, ketika peluang  untuk merebut kuasa muncul.

The Malaysian Insight mengimbas kembali beberapa episod ini yang berlaku di bawah pemerintahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bersempena dengan ulang tahun satu tahun pemerintahannya.

Perikatan beri jawatan tinggi dalam GLC kepada ahli Parlimennya sendiri

Untuk kekal berkuasa, Muhyiddin cepat menenangkan sekutu baharunya dengan membentuk Kabinet besar, terdiri daripada 70 menteri dan timbalan menteri, untuk memastikan cukup banyak jawatan buat Bersatu, Umno, PAS, pembelot PKR, parti Barisan Nasional lain dan Gabungan Parti Sarawak.

Beliau juga memberi ahli Parlimen kerajaan jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat milik negara.

Tindakan itu dikritik hebat banyak pihak, termasuk penganalisis dan ahli ekonomi yang memberi amaran ia tidak akan menjadi petanda baik untuk tadbir ururs yang bagus. Bekas menteri, Rafidah Aziz berkata, langkah itu jelas untuk mendapatkan sokongan terhadap Muhyiddin. Presiden PKR Anwar Ibrahim mempersoalkan kelayakan akademik dan profesional pelantikan tersebut, dengan menyatakan majoriti ahli Parlimen PN mendapat manfaat.

Riza Aziz dibebaskan tidak bersesuaian dengan tuduhan

Pada Mei 2020, Riza Aziz, anak bekas perdana menteri Najib Razak, dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas lima tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan AS$248 juta yang dikaitkan dengan dana negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Riza telah mencapai perjanjian dengan pihak pendakwaan di mana kerajaan persekutuan akan mendapatkan kembali aset di luar negara sebanyak AS$107.3 juta.

Riza yang merupakan pengasas bersama Red Granite Pictures yang menghasilkan filem hit “The Wolf of Wall Street” juga menyelesaikan tuntutan pelucutan sivil oleh kerajaan AS dengan bersetuju membayar AS$60 juta pada September 2017.

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman bebas 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jun 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2021.

Musa Aman dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah

Pada Jun 2020, bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dilepaskan dan dibebaskan dari 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan konsesi kayu oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tuduhan tersebut mendakwa Musa dalam jawatannya sebagai ketua menteri Sabah dan pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah telah menerima AS$50.1 juta (RM220.2 juta) dari lapan syarikat konsesi pembalakan sebagai dorongan untuk meluluskan konsesi pembalakan untuk 16 syarikat.

Pembebasannya oleh mahkamah juga bermaksud beliau tidak lagi dapat dibicarakan atas tuduhan sama.

Bulan berikutnya setelah pembebasannya, ahli Umno itu melancarkan usaha menjatuhkan kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan dan PH dengan menuntut sokongan majoriti Adun. Ini menyebabkan pembubaran dewan perundangan dan pilihan raya negeri pada September.

Penyelesaian AS$3.9 juta dengan Goldman Sachs

Pada Julai 2020, Malaysia mencapai penyelesaian AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) dengan bank pelaburan global mengenai peranannya dalam skandal 1MDB. Penyelesaian itu sebagai pertukaran bagi Malaysia yang mengakhiri semua prosiding jenayah terhadap bank yang mempermudah penerbitan bon bernilai AS$6.5 bilion 1MDB dan mendapat faedah lebih tinggi daripada biasa (AS$600 juta).

Jumlah penyelesaian kurang AS$7.5 bilion yang diminta oleh kerajaan PH sebagai pampasan daripada Goldman Sachs. Gabungan kerajaan yang digulingkan itu berkata penyelesaian berkenaan adalah “bukti wujudnya pelbagai kesalahan dan rasuah dalam tempoh itu”. Pihak berkuasa Malaysia menuduh bank terbabit dan 17 pengarah dan bekas pengarahnya kerana didakwa menipu pelabur.

Kontroversi berkaitan koronavirus

Sebahagian besar tadbir urus PN ditentukan oleh penangan pandemik Covid-19, ketika gabungan itu mengambil alih kuasa ketika koronavirus baru mula menyerang Malaysia. Setelah berjaya meratakan lengkuk gelombang pertama dan kedua pandemik, beberapa keputusan kontroversial memarakkan gelombang jangkitan ketiga, terutama setelah Pilihan Raya Negeri Sabah pada akhir September.

Kes meningkat di Sabah pada awal bulan sama, tetapi Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan kuarantin wajib 14 hari bagi mereka yang kembali dari Sabah ke semenanjung hanya pada 27 September, sehari selepas hari mengundi. Ini membolehkan ahli politik dan pekerja kempen yang kembali ke Malaysia barat sebelum tarikh tersebut melepaskan diri daripada arahan pengasingan.

Antaranya ialah Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang pulang dari Sabah pada 24 September. Beliau kemudiannya didapati positif Covid-19, selepas menghadiri semua programnya yang padat di semenanjung, bertemu orang ramai dan menghadiri mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri.

Pada awal Oktober, beberapa menteri serta perdana menteri dikenakan kuarantin 14 hari di rumah. Zulkifli meminta maaf atas tindakannya.

Keputusan kontroversi lain ialah memberikan tempoh hanya tiga hari kuarantin kepada menteri yang pulang dari luar negara. Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, yang mengumumkannya pada awal Februari tahun ini, berkata keputusan itu dibuat atas alasan ekonomi bagi memudahkan perdagangan. Beliau berkata ini dapat diperluaskan kepada pelancong perniagaan dan orang ramai.

Langkah itu mendapat kritikan berat dan tuduhan pilih kasih. Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kemudian menjelaskan menteri harus memenuhi syarat tertentu, termasuk siapa dan berapa orang yang mereka temui, dan cara perjalanan mereka.

Dr Adham pada awal pandemik dikecam hebat kerana menyebarkan maklumat salah dengan mendakwa minum air suam akan “membuang” koronavirus ke perut di mana asid pencernaan akan membunuh virus. Beliau diarahkan menjauhkan diri daripada perhatian awam dan tidak membuat sebarang kenyataan buat sementara waktu.

Lebih 1,000 warga Myanmar dihantar pulang walaupun ada perintah mahkamah

Baru-baru ini, PN dikecam hebat kerana melanggar perintah mahkamah untuk menghentikan pengusiran 1,086 warga Myanmar tanpa dokumen yang ditahan di pusat tahanan imigresen sejak tahun lalu.

Penangguhan pengusiran oleh dua kumpulan hak asasi manusia dibawa ke mahkamah, yang memberikan penangguhan sementara menunggu perbicaraan. Tindakan Jabatan Imigresen itu mengundang protes, termasuk daripada PBB. Kumpulan pembela hak pendatang asing berkata ada laporan mengatakan sebahagian yang dihantar pulang adalah pencari suaka.

Pegawai bagaimanapun menegaskan mereka yang dihantar pulang melakukan kesalahan seperti visa tamat, dan pengusiran itu  sebahagian daripada program biasa mereka untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin dari wilayah miskin di Asia.

Baru-baru ini, PN dikecam kerana melanggar perintah mahkamah menghentikan pengusiran 1,086 warga Myanmar tanpa dokumen yang ditahan di pusat tahanan imigresen sejak tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2021.

Kemudahan bahan pelupusan Lynas di hutan simpan

Kontroversi mengenai penemuan kemudahan pelupusan kekal kilang nadir bumi (PDF) Lynas untuk sampahnya, akan dibina di dalam hutan simpan tetap Bukit Kuantan, sebuah kawasan sensitif terhadap alam sekitar.

Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kilang menyatakan PDF berada di dalam kawasan tadahan air Sungai Riau, dan bahan terbuang akan mengalir ke sungai yang akan bergabung dengan Sungai Kuantan sebelum ke laut. Namun, di sepanjang jalan terdapat titik masuk ke loji rawatan air yang merupakan sumber air utama untuk Kuantan.

Menurut Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, wilayah tersebut adalah tahap 1 Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSA) di bawah Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035, dan tidak boleh ada pembangunan tanpa perundingan masyarakat yang diperlukan untuk mengubah rancangan sedia ada.

Laporan EIA, yang baru saja dikeluarkan bulan lalu untuk maklum balas orang ramai hingga 28 Februari, juga memberi amaran mengenai potensi risiko terhadap 780,00 penduduk bandar Kuantan dan nelayan tempatan di sepanjang jalan sungai.

Setelah tempoh maklum balas orang ramai terhadap laporan EIA ditutup, masih belum dapat dilihat bagaimana kerajaan negeri Pahang dan Lynas yang dipimpin PN akan mempertimbangkan hasil dapatan EIA. – 1 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen