2 ahli Parlimen PKR tandatangani SD, sokong kerajaan Perikatan


Larry Sng dan Steven Choong Shiau Yoon menyerahkan SD mereka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini. – Gambar Facebook, 28 Februari, 2021.

AHLI Parlimen Julau dan Tebrau, kedua-duanya daripada PKR menandatangani akuan berkanun (SD) sebagai menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Larry Sng dan Steven Choong Shiau Yoon menyerahkan SD mereka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Hari ini saya menerima SD daripada dua ahli Parlimen pembangkang yang kini menyokong kerajaan PN.

“Dengan sokongan mereka, ini akan mengukuhkan usaha kerajaan PN untuk melawan pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi,” kata Muhyiddin dalam posting di Facebook.

Ahli jawatankuasa pusat PKR G Manivannan mengesahkan kedua-dua ahli Parlimen itu keluar parti mereka.

“Ini tentang prinsip. Kami terima yang mereka buat keputusan untuk sertai PN tetapi kami juga akan teruskan perjalanan ke depan untuk masa depan lebih baik,” kata Manivannan ketika dihubungi.

Naib Presiden PKR Tian Chua awal hari ini berkata Sng meletak jawatan pengerusi PKR Sarawak semalam, namun tidak dapat mengesahkan kedudukan Sng dalam parti.

Sng pernah cuba meletak jawatan itu pada Disember, berkata etnik Dayak sepatutnya mengetuai parti itu di Sarawak. Namun, kepimpinan PKR menolak peletakan jawatan itu.

Beliau menjadi pengerusi PKR Sarawak tahun lalu, menggantikan Baru Bian, susulan beberapa pemimpin Pakatan Harapan dan PKR keluar parti bersama Mohamed Azmin Ali yang bersekutu dengan Bersatu untuk membentuk PN.

Baru kemudian menarik diri daripada mengikut Azmin dan menyertai satu lagi parti pembangkang Sarawak.

Sejak beberapa minggu ini, muncul spekulasi tentang beberapa wakil rakyat PKR akan menyertai PN.

Majoriti hanya dua kerusi kerajaan Muhyiddin di Dewan Rakyat hilang susulan dua wakil rakyat Umno baharu-baru ini menarik balik sokongan mereka terhadapnya.

Sokongan diberikan oleh Sng dan Choong hari ini akan mengembalikan majoriti mudah itu untuk perdana menteri. – 28 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen