PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-un dalam ucapan tahun barunya menggesa negara itu meningkatkan pengeluaran nuklear dan peluru berpandu menerusi program senjata yang mencetuskan ketegangan antarabangsa.
Pyongyang meningkatkan pengeluaran itu secara drastik dalam usahanya untuk menjadi negara kuasa nuklear pada 2017, walaupun terdapat kecaman dan dikenakan sekatan antarabangsa.
Kim pada Isnin berkata, butang pelancar peluru nuklear sentiasa berada di mejanya, yang mengetuai beberapa ujian peluru berpadu dalam tempoh beberapa bulan dan melancarkan ujian nuklear enam kali - yang didakwa sebagai bom hidrogen pada September.
“Kita perlu meningkatkan pengeluaran besar-besaran peluru berpandu nuklear dan balistik serta mempercepatkan penyebarannya,” kata Kim dalam ucapan tahunannya kepada rakyat negara itu, dan mengulangi dakwaan bahawa Korea Utara telah mencapai matlamatnya untuk menjadi negara kuasa nuklear.
Korea Utara berkata, program senjatanya direka khas untuk mensasarkan Amerika Syarikat dan mengadakan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) sepanjang 2017.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah memberi maklum balas bagi setiap ujian berkenaan dengan deklarasinya tersendiri, dan mengancam untuk “memusnahkan” Pyongyang dan menyelar Kim dengan menyifatkan tindakan pemimpin Korea Utara itu sebagai “misi bunuh diri”.
Namun, di sebalik cubaan untuk mempengaruhi Kim menghentikan ujian nuklear, penganalisis berkata kata-kata Trump yang tegas itu sebaliknya akan menyebabkan pemimpin Korea Utara itu akan meneruskan tindakan bahaya berkenaan.
“Korea Utara boleh menerima apa sahaja ancaman nukelar daripada AS dan mempunyai pencegahan nuklear yang kuat yang mampu menghalang AS daripada bermain api,” kata Kim pada Isnin.
“Butang nuklear sentiasa di meja saya. AS perlu sedar ini bukan satu ugutan, tetapi realiti.” – AFP, 1 Januari, 2018.
Komen