Rakyat boleh marah tapi buat pilihan pada PRU15, kata kumpulan masyarakat sivil


Noel Achariam

Kumpulan masyarakat sivil berkata rakyat Malaysia perlu mengundi untuk perubahan walaupun masih marah dengan Langkah Sheraton yang "mencuri" mandat rakyat Februari tahun lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2021.

RAKYAT mungkin bersikap sinis kerana suara mereka dicuri dengan perubahan kerajaan setahun lalu, tetapi ini tidak menghalang mereka terus mencari perubahan, kata kumpulan masyarakat sivil pada ulang tahun Perikatan Nasional (PN) yang pertama.

Rakyat perlu ingat suara mereka tetap paling berkesan untuk membuat pembaharuan, selain harus bersabar bertahan dalam jangka masa panjang, kata kumpulan itu.

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata pengundi harus bijak bila pilih calon, kerana Malaysia masih tak ada undang-undang anti-lompat parti untuk menghalang ahli politik menukar parti setelah dilantik.

“Langkah Sheraton telah mendedahkan kelemahan struktur dalam sistem politik yang perlu diperbaiki,” kata Fann mendesak pengundi tidak menjauhkan diri tetapi menggunakan hak mereka ketika pilihan raya umum berikutnya nanti.

Langkah Sheraton merujuk kepada pertemuan penting antara Bersatu, Umno, PAS dan beberapa ahli Parlimen PKR di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 23 Februari tahun lalu. Dalam pertemuan itu mereka memutuskan untuk membentuk gabungan baharu menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih pada 2018.

“Bila tiada mekanisme atau undang-undang anti-lompat, penyebaran berita palsu, penggunaan sumber kerajaan untuk membeli kesetiaan politik atau menghukum pembangkang, menyumbang kepada kejatuhan kerajaan persekutuan dan juga beberapa kerajaan negeri. Masalah-masalah ini mesti diberi perhatian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Langkah Sheraton, di mana Bersatu memutuskan untuk meninggalkan PH bertentangan dengan kehendak pengerusi ketika itu iaitu Dr Mahathir Mohamad, diikuti dengan pengunduran dirinya sebagai perdana menteri dan pengerusi parti. Ini menyebabkan kejatuhan kerajaan PH yang membolehkan PN naik.

Fann berkata Bersih 2.0 telah mengenal pasti beberapa kelemahan struktur yang mesti diperbaiki. Pengundi patut sokong agar tidak berlaku lagi langkah seperti Langkah Sheraton nanti.

“Kita harus naikkan dan sokong pihak yang akan menerapkan undang-undang penarikan balik pilihan raya, reformasi pembiayaan politik yang komprehensif, reformasi Parlimen, reformasi kehakiman dan pengagihan kuasa dari Persekutuan ke negeri, dan pemulihan Pilihan Raya Majlis Tempatan. Kita perlu tegaskan supaya parti-parti komited terhadap pembaharuan ini untuk PRU15.”

Beliau mengakui banyak orang sinis setelah perubahan kerajaan tetapi mengingatkan mereka masih memegang kuasa melalui suara mereka, walaupun mereka merasa tidak berkuasa sekarang.

“Pengundian bukan hanya hak kita tetapi kekuatan kita untuk buat perubahan.”

Pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri, juga mempunyai kata-kata untuk orang muda termasuk pengundi baharu dan mereka yang mengundi untuk kali pertama pada 2018.

Beliau berkata Langkah Sheraton memberi pengajaran berharga tentang bagaimana wakil rakyat harus dipertanggungjawabkan.

“Apa yang diajar oleh Langkah Sheraton kepada kita adalah bagaimana kita harus buat yang lebih baik dalam mempertanggungjawabkan kerajaan dan ahli Parlimen setelah pilihan raya, kerana parti-parti ketika ini masih sah.

“Walaupun, itu tidak beretika dalam Langkah Sheraton, tetapi masih sah. Tetapi, itu menaikkan kesedaran tentang apa yang dapat kita buat untuk jadikan wakil rakyat kita bertanggungjawab.

“Langkah Sheraton mengajar kita untuk melihat kembali sistem pilihan raya dan bagaimana kita dapat memperbaikinya.”

Qyira berkata, sementara rakyat sedang bersikap sinis, beliau berharap mereka bersemangat mengundi ketika berkempen untuk PRU15 bermula.

“Saya rasa orang masih kecewa, tetapi ia mungkin berubah ketika PRU15 berlangsung dan mungkin akan membuat mereka teruja lagi.

“Orang-orang juga memerhatikan untuk melihat respons parti-parti politik terhadap situasi pandemik Covid-19.”

Qyira berkata, walaupun orang marah, itu tidak bermakna mereka akan memilih semula PH seperti yang mereka lakukan pada pilihan raya sebelumnya.

“Saya fikir pembangkang masih banyak yang harus dibuat untuk dapatkan kembali kepercayaan rakyat. Beberapa menteri kabinet PN berasal dari PH,” katanya, merujuk kepada parti-parti seperti bekas pemimpin PKR dan Bersatu itu sendiri, yang merupakan Parti PH sebelum Langkah Sheraton.

“Terdapat defisit kepercayaan yang besar.”

Pengarah Eksekutif Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) Cynthia Gabriel, berkata masyarakat harus sedar mereka sebenarnya adalah “satu-satunya harapan” buat negara ini, kerana institusi dan sistem telah gagal.

“Agenda reformasi hilang, korupsi dan perlindungan politik melalui pelantikan kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan muncul kembali, begitu juga dengan amalan yang meningkatkan sistem ganjaran. Rakyat merasa perubahan singkat.

“Satu-satunya harapan ada pada kita, rakyat. Kita harus tuntut hanya ahli politik yang berintegriti dan berkomitmen terhadap keterbukaan dan kebertanggungjawaban yang harus dilantik pada PRU15,” kata Gabriel.

Tambahnya rampasan kuasa politik PN tidak hanya mengubah kerajaan persekutuan dan juga beberapa kerajaan negeri, tetapi juga mencetuskan pilihan raya negeri di Sabah pada September lalu yang juga menyaksikan mereka pada awalnya dipilih digantikan oleh pelompat parti.

“Adakah rakyat marah? Saya juga berfikir begitu. Tetapi pandemik Covid-19 telah menjadikan keadaan sangat rumit dan sukar.

“Kita tidak dapat tunjukkan rasa tidak senang kita atas apa yang sedang terjadi, dan harus menangani pandemik yang marak, yang juga merugikan kita dalam bidang kesihatan dan ekonomi.”

Gabriel juga melihat perebutan kuasa dalam PN, antara Bersatu dan Umno, serta percubaan presiden PKR Anwar untuk mendapatkan jumlah majoriti di Parlimen.

Ini adalah tanda-tanda yang lebih “memburuk-burukkan” di masa akan datang, katanya, dan PH harus benar-benar buktikan kepada masyarakat ia ada strategi jelas sehingga pengundi tahu mereka ada alternatif yang baik dan sepatutnya.

“Semua ini berlaku sehingga menjejaskan ekonomi dan kestabilan kita. Pembangkang harus bersikap tegas, tunjukkan kepada rakyat apa yang dapat mereka buat dengan lebih baik untuk hapuskan rasuah, dan kemudian baru mereka akan dipandang serius.” – 28 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen