3 Adun Amanah Johor sertai PKR


Mohd Farhan Darwis

Perpindahan ahli Amanah menyertai PKR bukan perkara baharu. Terdahulu Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar serta Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman dari Selangor turut berbuat demikian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2021.

TIGA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Amanah dari Johor meninggalkan parti itu dan menyertai parti sekutu Pakatan Harapan, PKR.

Salah seorang daripadanya, Adun Senggarang Khairuddin A Rahim mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

“Ya saya sekarang menjadi ahli PKR bersama dua lagi Adun Amanah. Permohonan dibuat bulan September, lebih kurang bulan Oktober juga baru diluluskan,” katanya.

Jelasnya, dua lagi bekas yang menyertai PKR itu terdiri dari Adun Serom Faizul Amri Adnan dan wakil rakyat Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Khairuddin menjelaskan, penyertaan mereka itu direstui pemimpin kedua-dua parti.

“Tidak ada masalah antara dua parti. Sebab itu ambil masa sikit untuk buat pengumuman.

“Tapi ada yang nampak saya pakai baju PKR, jadi saya beritahulah… Saya pun tak mahu keruhkan hubungan (antara Amanah dan PKR),” katanya.

Tambahnya lagi, beliau menyerahkan kepada pimpinan PKR sama ada tercalon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

“Bukan saya intai kerusi Parlimen, kalau saya ada peluang, parti rasa OK, say tidak ada masalah.

“Kalau saya tiada peluang (jadi calon), pun saya OK. Tidak ada masalah, sekarang kita fokus pilihan raya sahaja,” katanya.

Perpindahan ahli Amanah menyertai PKR bukan perkara baharu.

Terdahulu Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar serta Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman dari Selangor turut berbuat demikian. – 27 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen