Vaksin Covid-19 selamat untuk ibu menyusu, kata pakar


Khoo Gek San

Pakar menyarankan wanita yang sedang cuba hamil mendapatkan vaksinasi bagi memastikan mereka kebal terhadap virus sebelum mengandung. – Gambar EPA, 27 Februari, 2021.

SELAMAT bagi ibu menyusui bayi untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, kata ketua Pusat Pusat Penyelidikan Virus dan Vaksin Universiti Sunway, Profesor Poh Chit Laa.

Poh memberitahu The Malaysian Insight pakar percaya vaksin mRNA selamat untuk ibu menyusu meskipun belum diuji terhadap kumpulan ini.

Vaksin mRNA menggunakan salinan bahan kimia semula jadi yang disebut “messenger” RNA bagi menghasilkan tindak balas imun.

Tidak seperti vaksin yang menggunakan virus hidup, mRNA “mengajar” sel membuat protein yang mengembangkan tindak balas imun di dalam badan.

Antara lima vaksin yang diperoleh Malaysia, vaksin Pfizer-BioNTech adalah satu-satunya vaksin mRNA.

“Ketika ibu terkena jangkitan Covid-19 ketika menyusu, sistem kekebalannya mengembangkan antibodi untuk melindungi daripada terkena SARS-Cov-2. Antibodi yang ada dalam susu ini boleh disalurkan kepada bayi ketika menyusu,” katanya.

Beliau berkata wanita hamil lebih mudah dijangkiti penyakit teruk berbanding wanita tidak hamil dalam kumpulan umur yang sama.

“Mereka yang hamil berisiko lebih tinggi dirawat di hospital dan memerlukan rawatan intensif. Kajian menunjukkan Covid-19 dapat meningkatkan risiko kematian buat wanita hamil yang sakit,” katanya.

“Belum ada laporan tentang kecacatan lahir yang dikesan terkait dengan Covid-19. Namun ada kemungkinan penularan virus dari ibu ke bayi,” tambahnya.

Beliau menyarankan wanita yang sedang cuba hamil mendapatkan vaksinasi bagi memastikan mereka kebal terhadap virus sebelum hamil.

Poh kini bekerjasama dengan penyelidik dari Universiti Cambridge di United Kingdom dan Universiti Queensland, Australia untuk mengembangkan peptida sintetik dan nanovaksin terhadap denggi dan SARSCo-V-2.

Kini penyelidikannya tertumpu pada pengembangan agen antivirus dan vaksin baharu terhadap Enterovirus 71 yang menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut, virus denggi, influenza dan SARSCo-V-2.

Jurnal perubatan The Lancet berkata susu manusia bukan vektor untuk SARS-Cov-2 dan susu itu sendiri mengandungi antibodi yang berpotensi melindungi bayi yang disusui dari terkena Covid-19.

“Kita perlu kaji sama ada vaksin coronavirus secara umumnya, dan vaksin mRNA secara khususnya, masuk melalui susu dan pergi ke bayi.

“Malah jika mereka buat, nampaknya tidak ada alasan masuk akal untuk menentang vaksinasi untuk wanita menyusu,” katanya.

Pensyarah Perubatan Mikrobiologi Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Niazlin Mohd Taib dilaporkan menasihati ibu hamil dan menyusu agar tidak diberi vaksin, dengan alasan kekurangan bukti klinikal. – 27 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen