AMMB bayar Putrajaya RM2.83 bilion bagi kes libatkan 1MDB


Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan AMM bersetuju membayar RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan dengan 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2021.

KEMENTERIAN Kewangan (MoF) hari ini mengumumkan AMMB Holdings Bhd (AMMB) bersetuju dengan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan dengan penglibatan Kumpulan AmBank dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB). 

Penyelesaian global terkini itu adalah sebahagian daripada usaha tuntutan kembali berterusan oleh kerajaan Malaysia terhadap semua pihak yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, dengan 1MDB dan entiti berkaitan dengannya.

“Ini susulan kejayaan kerajaan dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (US$3.9 bilion) pada Julai 2020,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kesemua penyelesaian ini tidak akan membebaskan entiti dan individu lain dari salah laku mereka dalam kes 1MDB dan mereka akan tetap didakwa menerusi sistem keadilan mahkamah, katanya.

Penyelesaian global oleh AMMB Holdings Berhad itu adalah berkait dengan pematuhan undang-undang sekuriti dan garis panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Sebahagian daripada terma-terma penyelesaian global ini termasuk syarat oleh SC agar AmInvestment Bank Berhad mengambil langkah-langkah pembetulan, termasuk menambah baik sistem dan proses untuk memperkuatkan kerangka kerja tadbir urus mereka di dalam penilaian sukuk terbitan korporat.

“Penyelesaian terbaharu ini bermanfaat bagi rakyat Malaysia. Penyelesaian perkara ini melalui sistem mahkamah akan melibatkan masa dan sumber kewangan yang banyak.

“Dengan penyelesaian ini, pembayaran jumlah tersebut akan dipercepatkan, dan tidak akan tertangguh melalui sistem pengadilan mahkamah yang akan memakan masa. Jumlah ini juga dapat digunakan untuk melangsaikan kewajiban tertunggak 1MDB,” kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dalam kenyataan itu.

Jumlah penyelesaian ini adalah tambahan kepada denda RM53.7 juta yang telah dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan dibayar oleh Kumpulan AmBank yang mana telahpun mengambil langkah-langkah menyeluruh untuk memperbetulkan kekurangan yang berkaitan dengan urus niaga terbabit.

Ini termasuk langkah-langkah di bawah program pemulihan yang disyaratkan oleh BNM untuk dilaksanakan oleh Kumpulan AmBank, yang kini diterajui oleh lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan baharu.

Dengan langkah-langkah ini, Kumpulan AmBank berada di kedudukan lebih baik untuk terus melindungi kepentingan pendeposit serta pemegang saham dan bagi memastikan pertumbuhannya di masa hadapan.

“Penyelesaian global ini tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, Jasmine Loo dan pihak-pihak lain yang berkaitan, dan yang masih giat dicari berkaitan dengan skandal 1MDB,” katanya.

Kementerian Kewangan merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Pasukan Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini. – Bernama, 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen