Petronas lapor kerugian bersih RM21 bilion pada 2020 


Ragananthini Vethasalam

Bagaimanapun, kumpulan itu melaporkan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai Dan Pelunasan (EBITDA) yang kukuh sebanyak RM55.3 bilion pada tahun yang ditinjau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2021.

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) mencatat kerugian RM21 bilion bagi tahun kewangan 2020 ekoran tanggungan dan kemerosotan nilai aset sebanyak RM31.5 bilion.

Kerugian itu kali pertama dicatatkan Petronas dalam sejarah, dan menunjukkan kemerosotan mendadak selepas mencatat keuntungan selepas cukai RM40.5 bilion bagi tahun kewangan 2019.

Semakan dalam tinjauan harga komoditi mendapati syarikat minyak dan gas paling terkesan, ini termasuk Petronas yang mengalami kerugian besar aset mereka tahun lepas.

Tidak termasuk kemerosotan nilai, syarikat minyak negara itu mencatat keuntungan bersih RM10.5 bilion, 78% lebih rendah berbanding RM48.8 bilion dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Kumpulan itu juga mencatatkan pendapatan tahunan penuh lebih rendah sebanyak RM178.7 bilion berbanding RM240.3 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kesan penurunan harga minyak yang menyaksikan harga purata direalisasi yang lebih rendah untuk semua produk selain gangguan permintaan yang menyebabkan penurunan jumlah jualan daripada gas diproses, produk petroleum dan gas asli cecair.

Bagaimanapun, kumpulan itu melaporkan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai Dan Pelunasan (EBITDA) yang kukuh sebanyak RM55.3 bilion pada 2020.

Selain itu, gangguan permintaan yang mengakibatkan penjualan lebih rendah gas yang diproses, produk petroleum dan gas asli cair (LNG) juga menyebabkan penurunan perolehan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menyifatkan tahun kewangan 2020 sebagai paling sukar dalam sejarah kumpulan.

“Petronas telah mengalami tempoh paling sukar dalam sejarah Kumpulan. Dalam kita bergerak ke hadapan, kita menjangkakan industri minyak dan gas masih akan dipengaruhi oleh ketidakpastian peristiwa penting pada 2020,” katanya sambil melaporkan hasil kewangan kumpulan.

“Walaupun begitu, Kumpulan tetap komited untuk mengambil semua langkah yang diperlukan untuk pemulihan sambil memastikan keselamatan orang-orang kita dan gangguan minimum terhadap perniagaan kita. Kami fokus pada campur tangan taktikal kami ke arah menjaga nilai dan terus mencari penyelesaian yang berpusatkan pelanggan,” tambahnya.

Sebagai tindak balas segera terhadap penurunan permintaan dan penurunan harga minyak, kumpulan itu telah mengambil beberapa langkah tegas bagi memastikan ketahanan dan keberlanjutan kedudukan operasi dan kewangannya dengan meningkatkan fokus pada pemampatan kos, disiplin fiskal dan produktiviti yang lebih tinggi.

Ini telah membantu mengatasi kesan buruk ekonomi makro terhadap kewangannya kerana kumpulan itu menanggung kos yang lebih rendah sebanyak RM172.7 bilion berbanding RM197.3 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Ia juga telah mengurangkan perbelanjaan mengurus dan modal kerja (Capex) masing-masing sebanyak 12% dan 21%.

Usaha menurunkan kos ditambah dengan disiplin fiskal ketat berterusan menghasilkan Aliran Tunai dari Aktiviti Pengoperasian (CFFO) sebanyak RM40.7 bilion, walaupun 55% lebih rendah berbanding RM90.8 bilion pada 2019.

CFFO memberikan perlindungan selesa untuk memenuhi Capex berjumlah RM33.4 bilion.

Petronas menganggap ini sebagai prestasi mantap memandangkan situasi yang dihadapi, selain ia mencerminkan pengurusan kumpulan perniagaannya baik dalam menjana keuntungan.

Bagi suku keempat 2020, kumpulan itu mencatat kerugian bersih RM1.1 bilion berbanding keuntungan bersih RM4.1 bilion pada suku sama tahun sebelumnya setelah mengalami kemerosotan nilai sebanyak RM1.3 bilion.

Pada suku yang ditinjau, Petronas menghasilkan CFFO bernilai RM8.1 bilion disebabkan terutamanya oleh pemulihan permintaan yang sederhana ditambah dengan peningkatan harga yang sebahagian besarnya dari LNG.

Ia juga mencatatkan EBITDA sebanyak RM11.9 bilion pada suku berakhir 31 Disember 2020.

Tengku Taufik berkata tinjauan industri masih tidak menentu dan mencabar dengan pemulihan permintaan dan harga yang sederhana ketika kesan Covid-19 masih ada.

“Prospek industri tetap tidak menentu dan mencabar dengan pemulihan permintaan dan harga yang sederhana ketika kesan Covid-19 berterusan. Munculnya kes baharu dan pelaksanaan perintah pergerakan berulang untuk mengatasi pandemik itu akan terus menimbulkan cabaran buat industri,” katanya.

“Petronas tetap berati-hati dan optimis dengan mencari bukti ke hadapan portfolionya dengan meneroka ruang tenaga baharu dan mengejar inovasi dengan pelaksanaan yang fokus,” tambahnya.

Tengku Taufik berkata, kumpulan itu tetap yakin usaha dan fokus berterusan terhadap kecemerlangan komersial dan operasi sambil mengekalkan tahap kecairan sihat akan memastikan kelangsungan perniagaannya.

“Kami juga menempa garis pertumbuhan untuk mendapatkan peluang baharu di tengah peralihan tenaga, terutama dari daerah baru dan bukan tradisional,” katanya.

Walaupun gas tetap menjadi sumber bahan api yang penting dan bersih, kepelbagaian ke dalam Tenaga Diperbaharui sangatlah mustahak, dengan mempunyai kemahiran dan kemampuan yang tepat sebagai sebahagian daripada usaha modal insan Kumpulan,” tambahnya. – 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen