Penculikan besar-besaran di Nigeria, ratusan hilang


Kumpulan penjenayah telah meningkatkan serangan dengan menculik kanak-kanak sebagai tebusan, kepuasan seksual selain menyamun. – Gambar AFP, 26 Februari, 2021.

BEBERAPA ratus gadis hilang selepas serbuan yang disyaki dilakukan penyamun bersenjata di sebuah asrama sekolah di Zamfara, barat laut Nigeria, kata seorang guru dan ibu bapa kepada AFP pada Jumaat mengenai penculikan besar-besaran terbaharu di wilayah bermasalah.

Kumpulan penjenayah bersenjata berat di barat laut dan tengah Nigeria telah meningkatkan serangan dalam beberapa tahun ini dengan menculik untuk tebusan, perkosa dan samun besar-besaran..

“Lebih daripada 300 kanak-kanak perempuan hilang setelah dikira jumlah pelajar yang ada,” kata seorang guru di sekolah menengah perempuan Jangebe yang meminta untuk tidak disebutkan namanya.

Seorang ibu bapa memberitahu AFP beliau telah menerima panggilan mengenai kejadian itu.

“Saya dalam perjalanan ke Jangebe. Saya dapat panggilan sekolah itu diserang penyamun yang mengambil pelajar sekolah. Saya ada dua anak perempuan di sekolah itu,” kata Sadi Kawaye.

Polis belum mengesahkan kejadian itu.

Minggu lalu, 42 orang dibawa oleh geng dari sebuah sekolah di negeri Nigeria berdekatan.

Lebih daripada 300 kanak-kanak lelaki diculik dari sebuah sekolah pada Disember di Kankara, negeri kelahiran Presiden Muhammadu Buhari, semasa beliau melawat wilayah tersebut.

Kanak-kanak lelaki itu kemudian dibebaskan setelah berunding dengan kerajaan yang mana kejadian itu turut mencetuskan kemarahan masyarakat dunia. – AFP, 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen